Izz Laily Hussein

Johor Bahru : "Selalu kami solat Subuh sendiri, tetapi pagi itu arwah ajak solat berjemaah dan saya sempat mencium tangannya sebelum dia keluar bekerja kira-kira jam 7 pagi," kata Siti Nor Azuha Abdullah, 35, isteri kepada Allahyarham Zulhilmi Jufri Johari, yang maut selepas terjatuh ketika sedang melakukan kerja pembersihan di atas bumbung Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, 13 Jun lalu.

Siti Nor Azuha berkongsi perkara terakhir dilakukan bersama suaminya itu sebelum menerima panggilan telefon berhubung insiden yang meragut nyawa lelaki berusia 35 tahun berkenaan daripada majikannya kira-kira jam 2 petang.

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, arwah suaminya juga lebih banyak termenung dan meninggalkan banyak pesanan sejak seminggu sebelum kejadian.

"Arwah suami tinggalkan pesanan macam-macam, terutamanya tentang anak-anak. Tetapi ketika itu, saya ingat arwah hanya bergurau. Arwah pun lebih banyak termenung seminggu sebelum meninggal dunia," ceritanya.

Ditanya mengenai keadaan anak-anaknya yang berusia antara setahun dan sembilan tahun itu, Siti Nor Azuha berkata, anak lelaki ketiganya kerap bertanyakan bila bapanya ingin pulang.

"Anak sulung dan kedua sudah tahu ayah mereka meninggal dunia, tetapi anak ketiga selalu tanya 'bila abi nak balik?'," katanya sebak.

Siti Nor Azuha yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan itu berkata, selepas ini dia akan mula mencari pekerjaan untuk membesarkan anak-anaknya yang masih kecil itu dan memilih untuk terus menetap di Johor Bahru.

MOHD Hairi menyampaikan bantuan kepada keluarga Allahyarham Zulhilmi Jufri di Taman Seri Orkid, Skudai. FOTO Izz Laily Hussein
MOHD Hairi menyampaikan bantuan kepada keluarga Allahyarham Zulhilmi Jufri di Taman Seri Orkid, Skudai. FOTO Izz Laily Hussein

Suri rumah berkenaan ditemui ketika menerima kunjungan daripada Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Mad Shah di rumah sewanya dekat Taman Seri Orkid, Skudai di sini, hari ini.

Mohd Hairi hadir menyampaikan bantuan barangan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta faedah-faedah caruman yang mana balu mangsa dan empat anak menerima RM3,030 sebulan menerusi Faedah Orang Tanggungan dan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000.

Turut hadir, Pengarah PERKESO Negeri Johor, Tong Sing Chuang.

Selain itu, PERKESO turut menyampaikan faedah sama kepada balu seorang lagi mangsa yang maut dalam insiden itu, Syed Haidar Syed Salleh, 34, dikenali sebagai Fatimah, yang menerima Faedah Orang Tanggungan sebanyak RM1,413 sebulan dan RM2,000 sebagai Faedah Pengurusan Mayat.

Pada 13 Jun lalu, media melaporkan dua pekerja syarikat pembersihan profesional maut selepas terjatuh ketika sedang melakukan pembersihan dibumbung fasiliti milik kelab bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu.

Kejadian dilaporkan berlaku jam 12.30 tengah hari apabila kedua-dua mangsa secara tiba-tiba dilaporkan terjatuh dari ketinggian yang dianggarkan 42 meter.

Sementara itu, Mohd Hairi ketika ditemui berkata, PERKESO Negeri Johor dan Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) sedang melakukan kajian untuk membolehkan pekerja Malaysia di Singapura mencarum dengan PERKESO bagi mendapatkan perlindungan sekiranya berlaku kemalangan atau kecelakaan.

Kajian itu katanya, sudah dilakukan sejak awal tahun ini dan keputusannya dijangka pada akhir bulan ini.

"Hasil kajian ini nanti akan diserahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk ditimbangkan kerana ketika ini tiada akta yang membolehkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura mencarum dengan PERKESO.

"Kita akan tengok respon daripada pekerja Malaysia di sana. Ini kerana mereka tidak mempunyai sebarang perlindungan jika berlaku kecelakaan atau kemalangan ketika pergi atau pulang dari bekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 4:24 PM