MAGESWARI (dua dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada Norlela Rossilawati (empat dari kiri) sambil disaksikan Noh (tengah). FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
MAGESWARI (dua dari kanan) bertanyakan sesuatu kepada Norlela Rossilawati (empat dari kiri) sambil disaksikan Noh (tengah). FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


"SAYA seolah bermimpi, tidak percaya suami meninggal dunia. Beberapa jam sebelumnya (kemalangan, suami menghantar saya ke tempat kerja," kata Norlela Rossilawati Abdul Rahim, 38.

Norlela adalah isteri kepada Allahyarham Abd Khahil Sobron, 53, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Sekinchan 7 Julai lalu.

Menurutnya, sebelum itu suaminya yang juga pemandu lori dipercayai pengsan di tempat kerjanya di sebuah kilang beras di Tali Air 5, Ban 2, Sekinchan, hari yang sama.

"Waktu kejadian, saya baru tiba di rumah selepas pulang dari tempat kerja. Tidak lama selepas itu, kawan arwah datang dan memaklumkan arwah pengsan di tempat kerja ketika mengalihkan beras.

"Arwah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Sekinchan dan meninggal dunia kira-kira 11 pagi. Apa yang terkilan, saya tidak sempat berada di sisi arwah ketika dia menghembuskan nafas terakhir," katanya ketika ditemui di majlis penyerahan cek Faedah Pengurusan Mayat (FPM) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Penyerahan cek disampaikan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar di rumahnya di Kampung Parit 4, Ban 3 di Tanjong Karang, hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Perkeso Kuala Selangor dan Sabak Bernam, S Mageswari.

Norlela layak menerima faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 daripada Perkeso.

Katanya, pemergian arwah amat dirasai memandangkan dia terpaksa membesarkan empat anak lelakinya, Muhammad Danial Hakim, 16, Muhammad Danial Adzhar, 13, Muhammad Danial Ammar, 11, dan Muhammad Danial Qayyum Haidhar, 9, seorang diri.

"Saya yang bekerja sebagai pemetik sayur di Kampung Parit 4, Ban 3, dengan gaji harian sebanyak RM 25. Ia sudah pasti tidak mampu menampung perbelanjaan kami.

"Alhamdulillah, dengan bayaran faedah Perkeso ini, akan meringankan sedikit beban kewangan saya dan keluarga selain digunakan sebaik mungkin untuk meneruskan kehidupan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 8:28 PM