Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Takut dengan vaksin, agenda Yahudi, vaksin berbahaya dan mengalami masalah kesihatan menyebabkan lebih 27,000 individu dewasa di Kelantan tidak mahu menerima vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, daripada jumlah itu, lebih 9,000 individu mengisytiharkan mereka langsung tidak mahu divaksin.

Menurutnya, baki selebihnya enggan menerima vaksin kerana mereka mempunyai masalah kesihatan.

Katanya, data berkenaan didapati menerusi hasil yang dikumpul oleh ketua jajahan, ketua kampung dan pemimpin setempat apabila mereka turun padang menemui individu berkenaan.

"Mereka ini memberi pelbagai alasan dengan mendakwa vaksin ini agenda Yahudi, berbahaya, takut dengan vaksin dan mengalami masalah kesihatan.

"Kita masih membuka peluang dan ruang kepada mereka untuk mendapatkan vaksin Covid-19. Kita tidak mahu melabelkan mereka sebagai 'anti vaksin'.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darulnaim di sini, hari ini. FOTO HIDAYATIDAYU RAZALI.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darulnaim di sini, hari ini. FOTO HIDAYATIDAYU RAZALI.

"Keengganan ini, menyebabkan pergerakan mereka terhad kerana tidak boleh merentas daerah dan negeri serta hanya boleh membeli makanan di kedai dan mendapatkan ubat-ubatan sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Izani berkata, sehingga hari ini, lebih 65,000 individu dewasa belum divaksin dan 1,053,523 orang sudah menerima vaksin bagi dos pertama atau 94 peratus.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

"Jumlah sebenar penduduk dewasa di negeri ini selepas diperincikan adalah seramai 1.103 juta berbanding sebelum ini, iaitu 1.26 juta yang diperolehi menerusi data kelahiran.

"Selepas ditolak yang enggan divaksin dan mengalami masalah kesihatan, hanya lebih 38,000 individu sahaja lagi yang masih belum menerima vaksin.

"Kelantan juga akan mencapai jumlah 94 peratus individu dewasa divaksin tidak lama lagi atau dalam tempoh tertentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 3:48 PM