FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Syarifah Dayana Syed Bakri dan Sri Ayu Kartika Amri dan Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara sedang dimuktamadkan bagi memastikan Malaysia mampu menghasilkan vaksin sendiri.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelan ini juga membolehkan negara bersedia menghadapi sebarang pandemik pada masa akan datang.

"Di samping itu, Institut Penyakit Berjangkit Malaysia akan dibina di Bandar Enstek, Negeri Sembilan pada tahun 2022.

"Penubuhan institut ini bertujuan mencegah penyakit, ketidakupayaan dan kematian yang disebabkan oleh penyakit-penyakit berjangkit," katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, kerajaan juga telah mengenal pasti langkah proaktif meningkatkan kesiapsiagaan hospital, untuk mencapai nisbah 2.06 katil hospital bagi setiap 1,000 penduduk menjelang tahun 2025.

"Kerajaan akan turut membangunkan fasiliti kesihatan baharu, sebagai tambahan kepada 12 hospital yang sedang dibina di seluruh negara dan dijangka siap dalam tempoh RMK-12.

"Selain itu, kelengkapan dan peralatan kesihatan, termasuk keperluan unit rawatan rapi (ICU) akan ditambah. Malah, dalam usaha untuk merapatkan jurang perbezaan fasiliti kesihatan bandar dan luar bandar, kerajaan akan membina dan menaik taraf klinik-klinik kesihatan di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 1:57 PM