Bot yang membawa petrol dipercayai untuk diseludup ke Filipina dirampas APMM di Semporna malam tadi. Foto Ihsan APMM
Bot yang membawa petrol dipercayai untuk diseludup ke Filipina dirampas APMM di Semporna malam tadi. Foto Ihsan APMM
Abdul Rahemang Taiming

TEKONG bersama pembantunya bertindak terjun ke laut meninggalkan bot jongkong yang sarat dengan muatan 4,500 liter petrol bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Bot jongkong itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota bot peronda menerusi operasi penguatkuasaan di kawasan perairan Tanjung Pantau-Pantau dekat Semporna pada 10.30 malam tadi.

Pengarah Zon APMM Malaysia Semporna Komander Norrimi Hassan berkata, anggota penguat kuasa kemudiannya mengekori bot jongkong itu sebelum ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun, katanya, sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa menyebabkan tekong bersama pembantunya terjun ke laut dan berenang menuju ke hutan paya bakau berhampiran sebelum menghilangkan diri.

"Hasil pemeriksaan terhadap bot terbabit terdapat sebanyak 180 tong dengan setiap satunya mengandungi 25 liter petrol disyaki cuba diseludup keluar ke Filipina," katanya menerusi kenyataan media.

Norrimi berkata, barang rampasan termasuk bot bersama dua unit enjin sangkut dianggarkan bernilai RM28,200.00 dibawa ke Kem Azumi untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu pihaknya merekodkan sebanyak empat tangkapan membabitkan kegiatan penyeludupan minyak petrol di kawasan perairan Semporna.

"Kes ini yang kedua dan rampasan tahun ini bagi Zon Maritim Semporna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 12:26 AM