FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Abdul Rahemang Taiming


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas dua bot pam dipercayai digunakan untuk aktiviti mengebom ikan di kawasan perairan Tabo-Tabo, dekat Semporna, Sabtu lalu.

Turut ditahan seorang juragan dipercayai dari suku Palauh berusia 35 tahun kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, sepasukan anggota bot peronda APMM yang sedang menjalankan tugas rutin mengesan kedua-dua bot pam itu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, bot berkenaan kemudian ditahan untuk pemeriksaan jam 2 petang.

“Ketika anggota cuba menghampiri kedua-dua bot berkenaan, seorang daripada juragan bertindak terjun ke laut meninggalkan bot sarat dengan muatan ikan, dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan di kawasan itu.

“Suspek dipercayai berenang ke kawasan hutan bakau berhampiran dan gagal dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norrimi berkata, pemeriksaan awal mendapati kedua-dua bot terbabit tidak mempunyai nombor pendaftaran.

Katanya, pihaknya turut menemui beberapa peralatan disyaki digunakan untuk mengebom ikan.

“Suspek bersama barang rampasan termasuk bot bersama enjin sangkut dianggarkan bernilai RM 6,210 ditunda ke Jeti Kem Azumi untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya.

Beliau berkata, ia adalah kes tangkapan kedua oleh Maritim Semporna tahun ini.

Dalam pada itu beliau menegaskan APMM akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang kegiatan jenayah di perairan Semporna termasuk aktiviti mengebom ikan.

“Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk bekerjasama dengan menyalurkan maklumat atau aduan ke Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 10:19 AM