TIGA paket syabu ditemui disembunyikan di bahagian ruang hadapan pam bot selepas dua suspek terjun ke laut bagi mengelak ditahan APMM Semporna, hari ini. FOTO ihsan APMM.
TIGA paket syabu ditemui disembunyikan di bahagian ruang hadapan pam bot selepas dua suspek terjun ke laut bagi mengelak ditahan APMM Semporna, hari ini. FOTO ihsan APMM.
Abdul Rahemang Taiming


TINDAK tanduk mencurigakan dua lelaki di kawasan perairan Pulau Bum-Bum, Semporna membawa kepada penemuan tiga paket plastik mengandungi dadah bernilai RM23,000.

Kedua-dua suspek menaiki pam bot tanpa nombor pendaftaran itu dikesan sepasukan pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi Ops Sejahtera pada 9.30 pagi, hari ini.

Pengarah Maritim Zon Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, suspek terjun ke laut dan berjaya meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot ditinggalkan suspek, anggota kami menemukan satu plastik hitam disembunyikan di bahagian ruang hadapan bot berkenaan.

"Di dalamnya mengandungi tiga paket hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 149.69 gram," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Norrimi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan dadah itu diperoleh dari daerah ini dan cuba diseludup keluar menggunakan jalan laut untuk dijual di Filipina.

Katanya, selain dadah, pihaknya turut merampas sebuah pam bot bersama satu unit enjin sangkut 15 kuasa kuda (hp) selain beberapa barang peribadi milik suspek antaranya topeng muka dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM35,000.

"Ini tangkapan pertama membabitkan kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi Zon Maritim Semporna setakat tahun ini.

"Orang ramai diminta untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat ataupun aduan ke Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 9:36 PM