Mohd Shahar Abdullah
Mohd Shahar Abdullah
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerajaan Persekutuan membelanjakan RM164.2 billion dalam tempoh separuh pertama tahun ini, meningkat 5.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata, daripada jumlah itu, RM117.4 bilion atau 71.5 peratus disalurkan untuk Belanja Mengurus, RM28.4 bilion atau 17.3 peratus untuk Belanja Pembangunan sementara baki RM18.4 bilion atau 11.2 peratus adalah perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19).

Katanya, walaupun hasil meningkat 4.6 peratus kepada RM106.4 bilion bagi separuh tahun pertama 2021 berbanding tempoh yang sama tahun lalu, prestasi berkenaan adalah lebih perlahan berbanding anggaran Belanjawan 2021.

"Daripada jumlah itu, hasil cukai adalah berjumlah RM80.2 bilion manakala hasil bukan cukai pula berjumlah RM26.2 bilion.

"Daripada jumlah hasil cukai itu, RM58.3 bilion adalah hasil cukai langsung manakala RM21.9 bilion adalah hasil cukai tidak langsung," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Fong Kui Lun (Dap-Bukit Bintang) bertanyakan mengenai kedudukan kewangan negara selepas pandemik Covid-19 memasuki tahun kedua.

Mohd Shahar berkata, sebahagian besar perbelanjaan merangkumi 65.5 peratus daripada jumlah Belanja Mengurus adalah untuk menampung perbelanjaan berkaitan emolumen sebanyak RM43.2 bilion, bayaran khidmat hutang (RM18.4 bilion) dan bayaran persaraan (RM15.3 bilion).

Menurutnya, bagi perbelanjaan pembangunan, sebanyak 82.5 peratus daripadanya disalurkan kepada sektor ekonomi dan sosial.

"Manakala sebahagian perbelanjaan di bawah KWC-19 adalah untuk membiayai program-program termasuk Bantuan Prihatin Nasional sebanyak RM8.9 bilion, subsidi upah (RM3.7 bilion), Geran Khas Prihatin (RM2 bilion) dan perbelanjaan berkaitan Covid-19 (RM1.6 bilion)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 12:57 PM