Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Jumlah hutang negara berada pada 63.3 peratus setakat Ogos lalu dan kekal terkawal, kata Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah.

Beliau menjelaskan, berdasarkan pengiraan had statutori, hutang kerajaan Persekutuan merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) adalah 59.2 peratus iaitu di bawah had ditetapkan 60 peratus.

Menurutnya, perbelanjaan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dijangka memberi impak berganda kepada ekonomi rakyat dan reformasi fiskal.

"Kerajaan juga akan melakukan konsolidasi fiskal antaranya mengkaji dan menambah baik sistem percukaian sedia ada, memperluaskan asas hasil, memanfaatkan sektor potensi tidak formal dan mengurangkan amalan kurang lapor serta isytihar.

"Antara lain adalah mengurangkan ketirisan cukai, menambah baik pentadbiran cukai dan pengurusan cukai yang berkesan dengan agensi lain.

"Itu sebabnya apa dilakukan langkah konsolidasi fiskal selain kutipan hasil lebih baik pada pasca krisis 2020, dijangka akan mengurangkan paras hutang dan beban bayaran khidmat hutang secara beransur-ansur," katanya ketika sesi penggulungan RMK-12 di Dewan Rakyat, hari ini.

MOHD Shahar Abdullah.
MOHD Shahar Abdullah.

Penerangan beliau itu turut menjawab pertanyaan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) sebelum itu mengenai langkah kerajaan untuk merasionalkan hutang kerajaan dalam tempoh RMK-12.

Noor Amin kemudian bangun mencelah sejurus Mohd Shahar memberi penjelasan itu dengan bertanya pula senarai agensi mempunyai hutang di bawah jaminan kerajaan dan sejauh mana kerajaan memastikan mereka tidak memindahkan beban hutang kepada kerajaan.

Mohd Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata, senarai agensi terbabit akan disiarkan dalam Laporan Tinjauan Fiskal 2020 yang akan diterbitkan bersama Dokumen Belanjawan 2020 pada 29 Oktober ini.

Beliau berkata, setakat ini hutang agensi terbabit adalah berjumlah RM300.44 bilion atau 19.84 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Katanya, jumlah hutang yang dijamin oleh kerajaan terdiri daripada pinjaman domestik sebanyak RM273.93 bilion manakala pinjaman luar RM26.51 bilion.

"Kesemua syarikat yang mendapat jaminan kerajaan itu tidak pernah gagal dalam memenuhi obligasi hutang mereka dan berdasarkan kedudukan kewangan syarikat itu juga adalah baik dan mempunyai sumber kewangan tersendiri," katanya.

Tambah beliau, kerajaan sentiasa memantau kedudukan kewangan syarikat berkenaan bagi memastikan komitmen bayaran hutang dapat dijelaskan pada waktu tepat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 4:46 PM