MENARA TM.
MENARA TM.

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Berhad (TM) mencatatkan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan (PATAMI) sebanyak RM1.14 bilion, meningkat 27.7 peratus daripada RM900 juta bagi tahun kewangan 2022 (FY2022), berakhir 31 Disember 2022.

Ia berikutan keuntungan operasi lebih tinggi dan kos kewangan lebih rendah.

Prestasi berkenaan menggambarkan kemajuan TM dalam program transformasi tiga tahunnya (2021-2023).

TM dalam kenyataan berkata, memasuki tahun akhir fasa transformasi ini, TM kekal komited kepada fokusnya untuk memberi nilai kepada pihak-pihak berkepentingannya.

Bagi tempoh berkenaan, TM mencatatkan peningkatan hasil operasi 5.1 peratus kepada RM12.12 bilion, daripada RM11.53 bilion pada tahun

2021, dipacu oleh permintaan dalam kesalinghubungan, penyelesaian dan infrastruktur.

TM terus memperkukuhkan perniagaan terasnya merangkumi Unifi, TM One dan TM Global biarpun dengan persaingan yang semakin sengit dalam pasaran.

Dengan pertumbuhan hasil dan kecekapan kos lebih baik, Perolehan Sebelum Faedah dan Cukai (EBIT) TM naik 22.2 peratus kepada RM2.09 bilion, daripada RM1.71 bilion tahun lalu.

Perbelanjaan Modal (CAPEX) adalah pada 20 peratus daripada keseluruhan hasil, iaitu berjumlah RM2.43 bilion yang dilaburkan untuk membawa pertumbuhan dalam perkhidmatan fiber, serta pemodenan dan naik taraf rangkaian.

Menurut TM, Unifi meneruskan kepimpinannya dalam penyelesaian bersepadu iaitu jalur lebar tetap, perkhidmatan mudah alih, kandungan dan penyelesaian digital untuk segmen pengguna dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 7.5 peratus daripada RM5.22 bilion kepada RM5.61 bilion, disumbangkan oleh jumlah pelanggan kediaman dan PMKS lebih tinggi.

"Pelanggan jalur lebar tetap Unifi bertambah 9.3 peratus dan melepasi angka tiga juta pada tahun 2022.

"Bagi meraikan pencapaian ini, pelanggan telah menerima ganjaran tontonan percuma kesemua 72 saluran Unifi TV untuk satu bulan, serta diskaun bagi filem bayar-mengikut-tontonan (pay-per-view) sebagai penghargaan atas keyakinan dan kesetiaan mereka," katanya.

Unifi melancarkan perkhidmatan 5Gnya pada bulan November 2022, menawarkan pelan Uni5G kepada pelanggan pascabayar dan prabayar Unifi Mobile.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Imri Mokhtar berkata, 2022 merupakan tahun cemerlang buat TM.

"Kami mencatatkan kemajuan dalam transformasi kami dengan pertumbuhan merentas segmen-segmen perniagaan – Unifi, TM

One dan TM Global.

"Kedudukan kewangan yang lebih kukuh membolehkan TM menyampaikan lebih nilai dan manfaat kepada pihak berkepentingan kami – pelanggan, pemegang saham, ekosistem rakan niaga dan komuniti.

"TM komited untuk terus melabur bagi membina Digital Malaysia menerusi teknologi yang memperkasa komuniti, perniagaan dan kerajaan – bukan sahaja dalam perniagaan teras kami, tetapi juga dalam bidang pertumbuhan berkaitan yang baharu seperti awan, pusat data, keselamatan siber dan perkhidmatan platform," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 6:53 PM