MENDIANG Koperal Dickson Mamat. FOTO ihsan IPD Sri Aman
MENDIANG Koperal Dickson Mamat. FOTO ihsan IPD Sri Aman
Norsyazwani Nasri


Sri Aman: Anggota polis berpangkat Koperal antara korban pandemik Covid-19 di Sarawak.

Koperal Dickson Mamat, 39, yang bertugas di Balai Polis Batu Lintang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman meninggal dunia jam 4.50 pagi Khamis lalu di Hospital Sri Aman kerana jangkitan kuman pada paru-paru.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Bingkok John berkata, ujian calitan Covid-19 dijalankan pihak Hospital Sri Aman mendapati mendiang disahkan positif Covid-19.

"Mendiang berkhidmat dalam pasukan polis selama 17 tahun dan berkhidmat di Balai Polis Batu Lintang selama setahun dua bulan.

"Sebelum ini mendiang bertugas di Batalion 15 Sandakan, Sabah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bingkok berkata, seluruh warga polis Sarawak mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan itu.

"IPD Sri Aman kehilangan seorang anggota yang berdedikasi dan mempamerkan mutu kerja serta disiplin yang tinggi dalam menjalankan tugas.

"Kita juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama dalam pengurusan pengebumian mendiang," katanya.

Mendiang yang meninggalkan balu dan tiga anak berusia antara 13 hingga 17 tahun dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian Bukit Parabun, Saratok semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 4:31 PM