GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Joshua Eric


SEORANG pesara guru maut selepas tertembak senapang patah sendiri ketika memeriksa jerat di hutan di Empadi, Batu Lintang di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Bingkok John berkata, mayat Uke Manggi, 62, ditemukan penduduk dalam keadaan tangan kanannya hancur kira-kira jam 3 petang semalam.

Katanya, mangsa dikatakan masuk berseorangan ke hutan berkenaan kira-kira jam 4 petang Ahad untuk memeriksa jerat namun tidak pulang.

"Penduduk kampung mencari mangsa sebelum mayatnya dijumpai dalam keadaan terlentang bersama dengan selaras senapang patah yang bawah badannya," katanya.

Bingkok berkata, penemuan terbabit dilaporkan kepada Balai Polis Batu Lintang pada jam 3.50 petang dan anggota polis serta pembantu perubatan dikejarkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

Katanya, pembantu perubatan mendapati mangsa meninggal dunia tidak kurang 24 jam sebelum mayat ditemukan akibat kehilangan banyak darah.

"Siasatan awal polis mendapati mangsa terjatuh ketika menyandang senapang patah hingga menyebabkan senjata api berisi peluru jenis buckshot 12 butir itu terhentak lalu meletup.

"Satu kelongsong peluru ditemukan dalam senapang patah terbabit dengan lima butir yang belum diguna lagi turut ditemui dalam satu beg galas yang masih tergantung di pokok berhampiran lokasi kejadian berkenaan," katanya.

Bingkok berkata, polis tidak menjumpai sebarang senjata dan peralatan lain di lokasi kejadian.

Mayat dibawa ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 6:11 PM