MUHAMAD Fikri Zulkipli (kanan) dan Abdul Hafizal (kiri). FOTO Zuliaty Zulkiffli
MUHAMAD Fikri Zulkipli (kanan) dan Abdul Hafizal (kiri). FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


"KAMI bagaikan mati hidup semula... masih trauma walaupun hampir sebulan berlalu kerana kemalangan meragut nyawa pegawai di depan mata kami," kata Lans Koperal Abdul Hafizal Puim, 26.

Dalam kejadian 11.30 pagi, 19 April lalu, kereta peronda polis yang dinaiki Abdul Hafizal bersama rakannya, Lans Koperal Muhamad Fikri Zulkipli, 26, dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Asisten Superintendan Aldrin Gonda, 38, terbabit dalam kemalangan di hadapan Bangunan Arkib, Mentaloon, Alor Setar.

Kereta peronda polis itu berpusing sebelum terbalik menyebabkan pegawai kanan polis itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut Abdul Hafizal, kejadian berlaku apabila dia yang memandu kereta itu ternampak sebuah motosikal yang tiba-tiba memotong kenderaan mereka dari kiri ke kanan menyebabkan dia tidak sempat berbuat apa-apa.

Katanya, ketika itu, mereka dalam perjalanan dari IPD Kota Setar ke Pantai Johor untuk kes tangkapan dadah di kawasan itu sewaktu penugasan Ops Covid-19.

"Saya sudah cuba mengelak, namun kereta yang dipandu terbabas sebelum berpusing dan terbalik dan tiba-tiba suasana ketika itu senyap seketika.

"Waktu itu saya dalam keadaan separuh sedar dan nampak rakan saya, Muhammad Fikri masih berada tempat duduk penumpang belakang kereta, namun mendapati tuan Aldrin tiada dalam kereta," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, semalam.

Abdul Hafizal berkata, dia dan Muhamad Fikri tekad keluar melalui cermin depan dan belakang yang pecah untuk mencari pegawai polis berkenaan sebelum menemuinya tidak jauh dari situ.

Katanya, dia sempat mendengar mangsa berkata; "Tolong saya", beberapa kali sebelum tidak sedarkan diri dan pegawai perubatan yang tiba di lokasi ketika itu mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Rasa bersalah pun ada tapi apa nak buat, malah saya diberi cuti selama beberapa hari untuk menenangkan fikiran kerana setiap malam sebelum tidur saya terkenangkan kemalangan itu.

"Mendiang seorang yang sangat baik dan selalu menghiburkan hati kami sepanjang kami bekerja dengannya sejak 19 Mac lalu iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu," katanya yang berasal dari Sarawak.

Bagaimanapun, Abdul Hafizal dan rakannya hanya luka ringan di tangan akibat terkena serpihan kaca kenderaan berkenaan.

Sementara itu, Muhamad Fikri pula berkata, ketika dirawat di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), bapanya, Zulkipli Ayob, 56, orang pertama yang menghubunginya untuk mendapatkan pengesahan mengenai kejadian itu.

Katanya, bapanya menerima berita kemalangan itu melalui WhatsApp kerana bapanya pesara polis yang bertugas dalam Pasukan Gerakan Am (PGA) Hulu Kinta, Perak.

"Ayah tanya keadaan saya dan sedih apabila dimaklumkan ASP Aldrin sudah tiada.

"Mendiang buat kami bukan macam anggota tetapi seperti sahabat malah kalau kami belum makan, dia akan belanja kami beli makanan supaya kami tidak lapar sebelum memulakan tugas," katanya.

Muhamad Fikri yang menetap di Kota Sarang Semut berkata, sepanjang sebulan bekerja dengan ASP Aldrin dalam penugasan Ops Covid, mendiang disifatkan seorang yang sangat baik dan sangat mengambil berat semua anggota di bawahnya.

Mendiang berasal dari Serian, Sarawak meninggalkan isteri dan anak lelaki berusia enam tahun.

Berita berkaitan:

  • Pegawai polis maut dalam kemalangan
  • 'Mendiang bos paling baik'
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 10:21 AM