Warung makan asam pedas peniaga di kawasan terpencil perkampungan nelayan Tanjung Dahan, Kuala Linggi mula dipenuhi pelanggan sejak minggu lalu. FOTO Hassan Omar
Warung makan asam pedas peniaga di kawasan terpencil perkampungan nelayan Tanjung Dahan, Kuala Linggi mula dipenuhi pelanggan sejak minggu lalu. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Peniaga di kawasan perkampungan nelayan Tanjung Dahan, Kuala Linggi dekat sini yang terkesan akibat ketiadaan pelanggan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, mula menikmati kehadiran pelanggan sejak minggu lalu.

Dengan kawasan yang jauh daripada kunjungan masyarakat luar, mereka kini mampu kembali ceria apabila warung berkonsepkan alam semula jadi di pantai, mula dipenuhi pelanggan.

Ia amat melegakan mereka berbanding keadaan sebelum ini yang menyaksikan mereka sekadar bergantung pada hasil jualan makanan dan minuman secara bungkus.

Norain Nordin, 33, berkata warung makan di kampung itu bergantung kepada kehadiran pelanggan dari luar, terutama anggota komuniti bandar yang mencintai aktiviti makan bersama-sama anggota keluarga dalam suasana kampung.

"Sebelum PKP, kebanyakan pelanggan datang dari bandar tetapi apabila dilaksanakan, kami kehilangan pelanggan dari bandar. Walaupun penjualan secara bungkus dibenarkan sebelum ini, ia masih tidak mampu menampung kos operasi berbanding makan di kedai.

"Alhamdulillah, keadaan sekarang semakin baik apabila kerajaan membenarkan makan di kedai atau 'dine-in' dan pelanggan yang sebelum ini menghilang, sudah muncul kembali," katanya di warung miliknya, hari ini.

Katanya, kebanyakan tetamu yang menginap di chalet dan inap desa di perkampungan yang dihuni nelayan menangkap ikan dengan kaedah tradisional itu, amat menggemari aktiviti bersantai di bawah pokok sambil menikmati asam pedas bersama anggota keluarga.

Pelanggan, Noor Azilah Mohamad, 48, berkata dia dan dua anak tidak melepaskan peluang kebenaran 'dine-in' yang diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kepada mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin.

"Alhamdulillah, sekarang kami sudah boleh menikmati asam pedas di bawah pokok di pantai ini dengan suasana nyaman dan damai seperti mana yang kami nikmati sebelum PKP.

"Suasana tenang ini adalah daya tarikan utama mengapa saya dan pelanggan lain sanggup datang ke kawasan terpencil ini," katanya

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 3:10 PM