Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Walaupun sudah dibenarkan 'dine-in' di kedai makan dan restoran, namun suasana di kebanyakan premis berkenaan di Kelantan masih lengang.

Tinjauan di sekitar bandar Kota Bharu, mendapati kebanyakan peniaga bersiap sedia dengan menyusun meja makan mengikut penjarakan yang ditetapkan, namun kebanyakan pelanggan datang dan membeli secara bungkus.

Peniaga kedai Nasi Kandar, Azhar Taib, 44, mengakui teruja untuk berniaga hari ini, namun mengakui pelanggan yang 'dine-in' tidak sampai lima orang sejak kedai dibuka pada jam 10 pagi.

Katanya, beliau akan memastikan pelanggan menunjukkan bukti mereka sudah menerima dua dos vaksin lengkap sebelum dibenarkan untuk makan di kedai.

"Walaupun, teruja dengan keputusan kerajaan, pada masa sama saya bimbang berlaku penularan wabak jika prosedur operasi standard (SOP) tidak dipatuhi.

"Mungkin hari ini cuti umum jadi tak ramai yang makan di kedai, selain masyarakat masih takut untuk keluar susulan kes jangkitan Covid-19 yang masih tinggi.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana pembelian secara bungkus tetap mendapat sambutan," katanya ketika ditemui di kedainya di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

AZHAR (tengah) melayan pelanggannya di kedai makan di Taman Bendara. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AZHAR (tengah) melayan pelanggannya di kedai makan di Taman Bendara. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Akhbar sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan kebenaran 'dine-in' hanya untuk mereka yang lengkap vaksinasi Covid-19 di negeri yang sudah berada di bawah fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sementara itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran dari Hotel The Grand Renai, Raja Rusmin Raja Mahmud, berkata, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan yang membenarkan 'dine-in' kerana ia sedikit sebanyak membantu memulihkan bidang perhotelan.

"Bermula hari ini, kami hanya membuka satu restoran di tingkat satu hotel yang membolehkan pelanggan untuk 'dine-in' dan jika keadaan terkawal, baru kami akan meneruskan operasi dua restoran iaitu masakan halal cina dan kafe.

"Pengurusan hotel turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan kakitangan yang bekerja di bahagian F&B sudah menerima dua dos vaksin bagi menjamin keselamatan pekerja, selain masih memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 2:10 PM