GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Mohamad Shakil Hameed

ANGGOTA masyarakat terutama wanita yang menjadi mangsa tipu helah sindiket pemerasan menggunakan video atau gambar lucah dilihat semakin membimbangkan. Sindiket licik ini menggunakan pelbagai platform media sosial seperti WeChat, Facebook, WhatsApp dan MiChat untuk memerangkap mangsa dengan menggunakan alasan kasih sayang untuk mendapatkan video atau gambar lucah mereka. Justeru, orang ramai perlu lebih waspada dan berhati-hati supaya tidak terus dijadikan sasaran oleh penjenayah siber seperti ini.

Kes seperti ini dilihat semakin serius apabila jumlah mangsa yang terpedaya mula meningkat. Misalnya, Polis Daerah Petaling Jaya saja dilaporkan menerima 21 laporan berhubung kegiatan pemerasan video dan gambar lucah sejak Januari lalu. Daripada jumlah itu, dua kes sudah dituduh di mahkamah, manakala 19 lagi masih dalam siasatan. Pada masa sama, seramai 12 daripada mangsa kes berkenaan juga dilaporkan sudah membuat bayaran kepada suspek sehingga mengakibatkan kerugian RM33,788.88.

Tuntasnya kita percaya kes di seluruh negara semakin meningkat, malah bilangan kes sebenar juga mungkin lebih tinggi dari apa yang dilaporkan kerana ramai mangsa tidak tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa disebabkan takut dan malu, di mana ini juga menyebabkan sindiket terbabit semakin berani menjalankan aktiviti jenayah mereka.

Dalam konteks ini, lelaki juga perlu memberi perhatian yang serius kerana turut boleh menjadi mangsa sindiket. Misalnya, sebelum ini pernah dilaporkan beberapa kes di mana sindiket akan menggunakan gadis cantik untuk menggoda lelaki dalam perbualan video sebelum meyakinkannya untuk berbual dalam keadaan bogel dan aksi itu dirakam anggota sindiket yang terbabit yang kemudian akan digunakan untuk memeras ugut mangsa.

Ringkasnya, baik lelaki mahupun wanita terdedah kepada ancaman penjenayah siber seperti ini jika tidak berwaspada dan terlalu mudah terpedaya dengan pujukan dan godaan sindiket terbabit. Jumlah kes yang semakin membimbangkan di samping jumlah kerugian besar sewajarnya membuka mata semua pihak supaya lebih berhati-hati terutama apabila berhubungan dalam talian dengan individu yang baru dikenali.

Ironinya, walaupun pihak berkuasa sering mendedahkan kes pemerasan seperti ini, namun masih ada anggota masyarakat yang terus menjadi mangsa sindiket yang kelihatan sangat licik. Justeru, semua pihak perlu mengambil langkah keselamatan dan pencegahan yang sewajarnya supaya dapat mematahkan ancaman penjenayah siber yang semakin membimbangkan ini.

Antaranya, perlu lebih berhati-hati ketika menjalinkan sebarang bentuk perhubungan dengan individu yang tidak dikenali terutama dalam talian. Misalnya, elakkan terlalu mudah menerima friend request daripada individu tidak dikenali. Kita juga perlu membina daya ketahanan diri yang kuat supaya tidak mudah jatuh hati dengan pujuk rayu, kata-kata manis atau janji oleh teman yang baru dikenali. Dalam hal ini, jangan menunjukkan yang kita terlalu terdesak, keseorangan, sunyi dan dahagakan kasih sayang.

Percayalah sudah ada sindiket yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan atas kelemahan kita yang terlalu mudah percaya dan cepat meluahkan rasa cinta mahupun kasih sayang walaupun baru dikenali.

Di samping itu, walaupun kita mula yakin dengan perhubungan yang terjalin jangan sesekali memberikan gambar atau video yang mengaibkan diri sendiri kepada individu terbabit. Ini termasuk membuat sebarang aksi secara langsung yang membolehkan pihak terbabit merakam perbuatan itu. Dalam hal ini, maruah diri perlu diletakkan pada kedudukan yang paling tinggi kerana ia tiada galang gantinya. Ringkasnya, walau apapun pujukan mahukan desakan diterima, usah menggadaikan maruah diri.

Dalam konteks sama, sebagai pengguna media sosial, kita juga perlu lebih berhati-hati dalam memuat naik foto ataupun video peribadi untuk tatapan umum. Hakikatnya, pada hari ini kita seumpama sudah menjadi hamba kepada media sosial apabila semua aktiviti yang dilaksanakan dimuat naik dan dikongsi dalam pelbagai media sosial untuk tatapan umum.

Lebih menjelekkan lagi apabila ada individu yang sanggup membuka aib sendiri dengan begitu bangga berkongsi foto atau video lucah yang dianggap sebagai satu unsur untuk melariskan produk dan sebagainya. Percayalah ada saja mata yang memerhatikan segala aktiviti kita dalam media sosial, di mana sindiket ini akan menggunakan foto, video atau maklumat yang kita muat naik dan mengambil kesempatan untuk mendekati kita yang kemudian akan berakhir dengan jenayah pemerasan.

Jelas sekali, aktiviti pemerasan menggunakan video atau gambar lucah mangsa mula menjadi satu trend dalam kalangan penjenayah siber untuk mengaut keuntungan yang besar. Dengan hanya menggunakan kata-kata yang manis secara dalam talian mereka dapat memerangkap mangsa dengan mudah, jadi percayalah aktiviti mereka ini akan berterusan selagi ada anggota masyarakat yang masih tidak sedar, sekali gus terus membuka peluang kepada mereka.

Oleh itu, sedarlah maruah diri dan keluarga itu sangat tinggi nilainya. Justeru, jangan terlalu mudah terpedaya sehingga menggadai maruah kerana sesal dulu ada pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 5:59 AM