Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis menahan dua lelaki yang disyaki terbabit kes penipuan tawaran kerja dalam talian di sebuah kondominium di Cheras di sini, semalam.

Mereka yang berusia 23 dan 32 tahun itu ditahan dalam serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dan IPD Cheras.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, serbuan itu dilakukan pada 3.30 petang.

"Kedua-duanya berperanan sebagai operator untuk mendapatkan mangsa melalui media sosial.

"Polis turut merampas sebuah komputer riba, enam telefon bimbit dan dua keping kad mesin juruwang automatik (ATM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu mula beroperasi sejak Mei lalu dan mensasarkan mangsa warga tempatan.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman sehingga 28 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau minta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang jenayah atau aktiviti mencurigakan supaya menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 7:07 PM