BUMBUNG usang tidak diselenggara dengan baik.
BUMBUNG usang tidak diselenggara dengan baik.
Nur Izzati Izzah Nadzi

Pelabuhan Klang: Penduduk Flat Taman Kem di sini, menarik nafas lega selepas Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan RM5.56 juta bagi melaksanakan kerja menambah baik dan membaik pulih infrastruktur juga prasarana terutama bumbung usang di flat berkenaan.

Penduduk, Tun Suzanna Mohd Zainin, 36, yang tinggal di tingkat tiga berkata, bumbung flat itu mudah diterbangkan angin terutama ketika dilanda ribut.

“Saya pernah memanggil tukang rumah untuk membaiki atap di bumbung kediaman dua bulan lalu tetapi dia terjatuh ketika membaikinya kerana bumbung sudah reput.

“Sejak itu, tiada tukang rumah berani naik untuk membaiki atap di flat ini. Malah jika hujan, air daripada bumbung mengalir masuk kerana saluran paip air bocor,” katanya yang tinggal di flat berkenaan sejak 30 tahun lalu.

Seorang lagi penduduk, Abdul Rahim Hussin, 63, yang juga antara penduduk terawal mendududki flat berkenaan berkata, mereka tiada dana untuk membaik pulih bumbung flat itu.

“Kami terpaksa tinggal di sini walaupun tahu keadaannya sudah daif namun rumah ini saja yang kami ada.

“Kami juga gembira apabila diberikan peruntukan membaik pulih surau kerana permaidani yang digunakan sudah 10 tahun tidak ditukar dan lantai juga dalam keadaan teruk,” katanya.

Kelmarin, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar turun padang ke flat berkenaan untuk melihat sendiri masalah terbabit.

Pada kunjungan itu, Noh mengumumkan peruntukan untuk membaik pulih flat yang mengandungi lima blok dan 500 unit kediaman.

“Kelulusan peruntukan ini membabitkan RM5 juta bagi membaik pulih bumbung, cat, pagar koridor dan tangki yang terdapat di lima blok flat, manakala RM500,000 untuk pembinaan dewan serba guna termasuk gelanggang futsal berbumbung dan RM60,000 lagi bagi membaik pulih surau yang sudah berusia 30 tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 5:58 AM