LOKASI kejadian seorang anggota polis terseret hampir 20 meter sebelum terjatuh ke dalam longkang di Penaga, Kepala Batas. FOTO ihsan PDRM
LOKASI kejadian seorang anggota polis terseret hampir 20 meter sebelum terjatuh ke dalam longkang di Penaga, Kepala Batas. FOTO ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Seorang anggota polis berpangkat Koperal cedera parah selepas diseret hampir 20 meter sebelum terjatuh ke dalam longkang ketika mengejar seorang lelaki dalam kejadian di Penaga, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, beberapa anggota polis mengadakan pemantauan Task Force Op Covid-19 dekat kawasan berkenaan dan ternampak seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, anggota kemudian memperkenalkan diri dan mengarahkan lelaki berkenaan supaya hentikan motosikalnya di tepi jalan bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan.

"Bagaimanapun, lelaki itu terus memecut laju dengan menunggang motosikalnya secara berbahaya sehingga memaksa anggota polis terbabit mengejarnya.

"Apabila tiba di satu simpang, motosikal suspek berlanggar dengan motosikal anggota polis berusia 30 tahun yang ketika itu berada di sebelah kanan. Ia menyebabkan anggota itu terseret hampir 20 meter sebelum terjatuh ke dalam longkang," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, suspek berjaya meloloskan diri selepas anggota polis itu terjatuh namun dia berjaya ditahan di kawasan berhampiran.

"Pemeriksaan ke atas suspek berusia lingkungan 20-an itu tidak menemukan barang salah dan dia dipercayai melarikan diri dari polis kerana tiada lesen memandu.

"Ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati dia negatif dadah," katanya.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, anggota yang cedera dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan lanjut.

"Anggota polis itu didapati mengalami cedera parah apabila patah bahu kanan dan luka pada badan manakala suspek turut mengalami calar pada badan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 1:32 PM