Noorzainy Mohd Noor (kiri) menujukkan sepucuk pistol tiruan dan sebilah pisau yang dirampas dari geng samun semasa sidang media di bilik media Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas, Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
Noorzainy Mohd Noor (kiri) menujukkan sepucuk pistol tiruan dan sebilah pisau yang dirampas dari geng samun semasa sidang media di bilik media Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas, Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
Hadzlihady Hassan

MENGGUNAKAN sepucuk pistol mainan, dua lelaki memeras ugut dan menyamun warga asing dengan menyamar sebagai anggota polis.

Bagaimanapun, perbuatan itu terbongkar selepas seorang daripada mereka diberkas polis ketika sedang menyamun dua lelaki warga asing di Taman Cempaka Sari, Kepala Batas, Ahad lalu.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, perbuatan dua suspek terbabit dikesan anggota polis yang membuat rondaan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek dilihat menaiki sebuah motosikal sedang menyamun dua lelaki warga asing.

Menurutnya, melihat kehadiran dua anggota polis, suspek terus memecut motosikal namun sebaik tiba di Pekan Darat, pembonceng terjun dan melarikan diri ke kawasan gelap.

“Bagaimanpun, suspek yang menunggang motosikal berjaya ditahan selepas dia terjatuh akibat melanggar motosikal lain,” katanya.

Noorzainy berkata, suspek berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan di pinggang kanan, jari tangan dan lutut kiri.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai enam rekod kesalahan lampau membabitkan dua kes jenayah dan empat kes dadah.

“Hasil siasatan awal suspek mengaku melakukan enam kes samun terhadap warga asing dengan menggunakan pistol mainan bersama seorang rakannya yang masih bebas dan dikenali sebagai Alif,” katanya.

Menurutnya suspek yang tidak bekerja itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

“Polis merampas sepucuk pistol mainan, sebilah pisau, dua telefon bimbit dan pelbagai barang serta dokumen diri dipercayai milik mangsa samun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 3:57 PM