GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Subang: Seorang penjenayah tercedera selepas terjatuh ke dalam longkang ketika cuba menyamun seorang lelaki di Jalan PJS 9 di sini, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, polis menerima laporan daripada seorang lelaki kira-kira jam 2 petang.

"Mangsa mendakwa dia didatangi suspek yang menunggang motosikal dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis serta mahu membuat pemeriksaan.

"Mangsa bagaimanapun melarikan diri menyebabkan suspek mengejar dengan motosikal sebelum melanggarnya.

"Akibat kemalangan itu, mangsa terjatuh di jalan manakala suspek terjatuh ke dalam longkang berhampiran," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Abd Khalid berkata, polis yang menerima maklumat segera menahan suspek yang cedera di kepala serta dagu.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek berusia 49 tahun, tidak bekerja dan mempunyai lapan rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

"Polis merampas motosikal suspek yang didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kad mempunyai logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Katanya, suspek direman empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 393 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 12:41 AM