Redzuan Muharam


Petaling Jaya: Menyedari cabaran dilalui dalam tempoh pandemik Covid-19, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) melancarkan program Shelf of Sustenance (SOS) atau Gerobok Rezeki dalam usaha meringankan beban kakitangan berpendapatan rendah serta tergolong dalam kategori B40.

Ketua Pengarah MET Malaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata, program itu mendapat kerjasama Wanita Industri Binaan Malaysia (WIBM) iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan berteraskan semangat berkongsi rezeki serta saling membantu rakan kakitangan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, menerusi program SOS, sebuah rak akan diletakkan di lobi Blok C Ibu Pejabat MET Malaysia bermula hari ini bagi memberi peluang kepada sesiapa saja untuk menyalurkan sumbangan kepada kakitangan jabatan yang memerlukan.

"SOS adalah gerobok yang dilengkapi dengan barangan keperluan asas makanan seperti beras, telur, minyak, kopi, teh, gula dan sebagainya.

"Diharap dengan adanya SOS MET Malaysia ini sedikit sebanyak meringankan beban mereka yang memerlukan seperti kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

"Jabatan mengalukan sumbangan orang ramai mahupun NGO yang mahu turut sama membantu dan mereka hanya perlu letak saja barangan di gerobok itu," katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran SOS di di Ibu Pejabat MET Malaysia, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu Pengerusi Wanita Industri Bina Malaysia (WIBM) Prof Sr Dr Wan Maimun Wan Abdullah.

MUHAMMAD Helmi melakukan gimik pelancaran SOS MET Malaysi sambil diperhatikan Wan Maimun (kanan). FOTO Mohd Yusni Ariffin
MUHAMMAD Helmi melakukan gimik pelancaran SOS MET Malaysi sambil diperhatikan Wan Maimun (kanan). FOTO Mohd Yusni Ariffin

Sempena majlis itu, Muhammad Helmi turut menyampaikan sumbangan kepada tiga penerima sumbangan terdiri daripada kakitangan MET Malaysia.

Beliau berkata, pelbagai kerjasama strategik akan dijalinkan antara MET Malaysia, syarikat korporat dan NGO.

Katanya, kerjasama itu amat penting untuk MET Malaysia menjayakan program berkonsepkan Perkongsian Nilai Korporat (CSV) bagi memastikan bantuan kepada golongan sasar dapat disampaikan secaralebih berkesan.

"Inisiatif murni ini dilihat sebagai satu budaya yang akan menyatupadukan masyarakat Malaysia bukan saja daripada sudut kepelbagaian kaum.

"Bahkan, ia merapatkan jurang antara antara golongan mampu dan kurang berkemampuan dengan membawa semangat memberi serta berkongsi nikmat," katanya.

Sementara itu, seorang daripada penerima, Shaari Baharom, 42, yang bekerja sebagai pembantu am menyambut baik usaha MET Malaysia dalam menganjurkan program berkenaan.

Bapa empat anak berusia antara dua hingga 14 tahun itu berkata, inisiatif itu perlu diteruskan kerana diyakini memberi manfaat jangka panjang buat kakitangan khususnya yang berpendapatan rendah.

"Program gerobok rezeki seperti ini memang bagus kerana saya dan berapa rakan kakitangan jabatan terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Buktinya, kami juga berdepan risiko ketika kerja malah saya dan keluarga turut dijangkiti Covid-19 pada bulan lalu tetapi sudah pulih.

"Saya juga ada penyakit darah tinggi dan diabetes sejak lima tahun lalu jadi terima kasih diucapkan kepada pihak jabatan kerana prihatin dengan kepayahan dilalui kakitangan dalam waktu mencabar ini," katanya yang sudah 14 tahun berkhidmat di MET Malaysia.

Seorang lagi penerima bantuan, pembantu operasi di Pejabat Meteorologi Penerbangan Nasional (PMPN), MET Malaysia, Pairoz Nor Markom, 37, berharap program SOS diteruskan lagi kerana melihat banyak manfaatnya buat kakitangan.

"Program sebegini memberi peluang kepada semua kakitangan membantu satu sama lain.

"Dengan cara itu, kami dapat menerima bantuan jika perlu dan berkongsi rezeki kepada rakan yang memerlukan sekiranya mampu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 4:46 PM