Yazid Ishak menderma darah pada program derma darah anjuran PMPM dengan kerjasama BDHM di sebuah pasar raya di Pulau Sebang, Alor Gajah.
Yazid Ishak menderma darah pada program derma darah anjuran PMPM dengan kerjasama BDHM di sebuah pasar raya di Pulau Sebang, Alor Gajah.
Hassan Omar


Alor Gajah: Selepas lebih setahun memendam rindu untuk menderma darah, Sub Inspektor Yazid Ishak dapat melepaskan kerinduan itu dengan menderma kali ke-101, hari ini.

Rindu menebal dalam sanubarinya terlerai apabila dia menderma 450 mililiter (ml) darah pada program 'Jom Derma Darah: Satu Darah Satu Harapan Sejuta Senyuman' anjuran Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) dengan kerjasama Bank Darah Hospital Melaka (BDHM) dan sebuah pasar raya di Pulau Sebang, di sini.

Yazid, 54, berkata, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lalu, dia menderma darah sekali bagi setiap dua bulan, sama ada di lokasi awam atau di Hospital Melaka.

"Jika tiada program derma darah, saya akan ke Hospital Melaka untuk berbuat demikian, tetapi sejak PKP 1.0, saya tidak menderma dan terpaksa memendam rindu untuk berbuat demikian.

"Alhamdulillah, Allah mengurniakan saya kesihatan yang baik untuk berikan sedikit bakti kepada anggota masyarakat kerana satu beg darah mampu menyelamatkan tiga nyawa dengan izin Allah," katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Pada program itu, Timbalan Presiden PMPM, Azlin Othman menerima sijil penghargaan daripada BDHM yang disampaikan Pegawai Perhubungan Awamnya, Mohd Suhairy Sazali.

Yazid berkata, doktor memaklumkannya, tubuh seseorang yang sering menderma darah, lazimnya sihat kerana darah dikeluarkan diganti dengan yang baru dan sesuai untuk diderma semula selepas dua bulan bagi penderma lelaki dan tiga bulan bagi wanita.

Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah itu berkata, anggota komuniti harus turut membantu program berkenaan dan tidak harus terpengaruh dengan kenyataan pihak tertentu kononnya derma darah akan menyebabkan obesiti.

Sementara itu, Azlin berkata, sijil berkenaan diterima berikutan usaha PMPM menganjurkan 48 program derma darah sejak Mac tahun lalu hingga hari ini.

"Alhamdulillah, sepanjang PKP 1.0 hingga PKP 3.0 sekarang, kami sentiasa komited membantu menambah bekalan darah di negeri ini dan berterima kasih kepada pelbagai pihak yang membantu kami.

"Anggota komuniti tidak perlu bimbang untuk menderma darah kerana sebelum menderma, doktor meneliti keadaan kesihatan mereka bagi memastikan benar-benar sihat untuk berbuat demikian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 1:13 PM