DR Mohd Muhaimin  (kiri) bersama penderma darah ketika ditemui di Stadium Negeri, semalam.
DR Mohd Muhaimin (kiri) bersama penderma darah ketika ditemui di Stadium Negeri, semalam.
BERNAMA

Kuala Terengganu: Tidak keterlaluan jika menyifatkan penderma darah tegar di negeri ini sebagai 'wira yang tidak didendang' kerana mereka bersedia pada bila-bila masa untuk menderma darah sekiranya bekalan darah di hospital berada di tahap kritikal terutama ketika penularan pandemik Covid-19.

Ketua Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Dr Mohd Muhaimin Kambali berkata, terdapat lebih 3,000 penderma darah tegar di Terengganu yang akan segera 'dicari' oleh pihak hospital sekiranya bekalan darah hanya tinggal sekitar 300 beg sahaja.

"Pernah berlaku jumlah bekalan darah yang ada sangat kritikal. Jadi, kami hanya menguar-uarkan program derma darah dalam kumpulan WhatsApp yang terdiri daripada penderma darah tegar, Telegram dan Faceboook kami iaitu Derma Darah Terengganu Kite. Tidak lama kemudian ramai daripada mereka segera datang.

"Kami juga ada pangkalan data mengenai penderma tegar, jadi apabila situasi sangat membimbangkan kami hanya perlu hubungi mereka untuk segera menderma darah. Sebab itu, kami sangat bersyukur kerana mempunyai kumpulan sokongan yang sangat kuat dalam kalangan penderma tegar," katanya ketika ditemui Bernama pada Program Derma Darah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Stadium Negeri di sini.

Beliau berkata, penularan Covid-19 dan pelaksanaan PKP sudah memaksa program derma darah di tempat awam dihadkan, sekali gus menyebabkan jumlah penderma juga berkurangan, sedangkan bekalan darah diperlukan setiap hari untuk merawat pesakit.

Justeru, beliau berkata, peranan yang dimainkan penderma darah tegar ketika ini sangat penting dalam menampung keperluan di negeri itu.

Dr Mohd Muhaimin berkata, bermula 25 Mei hingga 8 Jun ini, HSNZ hanya melaksanakan Program Derma Darah PKP 3.0 di Stadium Negeri setiap hari bermula jam 9 pagi hingga jam 3 petang dengan sasaran penderma sekitar 30 orang sehari berbanding 50 orang sebelum ini.

"Kami buat di stadium ini sebab kawasan luas bagi mengelakkan penderma daripada berkumpul. Dalam masa satu jam kami hanya menyasarkan sehingga lima penderma. Malah, untuk mengurangkan risiko penularan Covid-19, penderma daripada mukim zon merah tidak dibenarkan datang. Jadi ia turut menyebabkan jumlah bekalan darah diterima sekitar 30 beg sahaja sehari berbanding 50 hingga 60 beg," katanya.

Ditanya mengenai keadaan bekalan darah ketika ini, Dr Mohd Muhaimin berkata HSNZ mempunyai lebih 700 beg darah dan jumlah itu dapat menampung kegunaan bagi tempoh dua atau tiga minggu lagi.

Malah, pihaknya juga turut menghantar kira-kira 200 beg darah ke Kelantan, Pahang dan Johor pada bulan Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri memandangkan negeri berkenaan terlebih dahulu berhadapan dengan peningkatan mendadak kes Covid-19.

"Bagaimanapun kami bimbang sekiranya kes Covid-19 di Terengganu terus mencatatkan peningkatan, kami terpaksa membenarkan mereka yang tinggal di mukim zon merah untuk menderma darah bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi. Tetapi kita harapkan tidak akan sampai ke tahap itu. Jadi, kami minta supaya lebih ramai penduduk daripada mukim yang bukan zon merah untuk segera menderma darah," katanya.

Sementara itu, seorang penderma darah tegar, Mohamad Khalies Hami Hamzah, 37, berkata, selain gembira kerana dapat menyumbang kepada masyarakat, badannya juga berasa lebih segar setiap kali menderma darah.

Kakitangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang 36 kali menderma darah sejak 2006 itu berharap lebih ramai yang 'terbuka hati' untuk menderma darah bagi membantu menyelamatkan orang lain.

"Pada musim Covid-19 ini lagilah kita harus menderma kerana tidak semestinya pesakit Covid-19 memerlukan darah, tetapi ada lagi yang memerlukannya seperti mangsa kemalangan dan sebagainya," katanya.

Kakitangan swasta, Siti Nurbaya Akma Mohd, 29, yang sudah tiga kali menderma darah sejak 2014 pula menganggap aktiviti menderma darah dilakukannya ketika pelaksanaan PKP 3.0 ini sebagai satu amalan bersedekah.

"Ketika pelaksanaan PKP ini mungkin ramai yang ingin bersedekah kepada mereka yang memerlukan. Bagi saya sedekah bukan hanya dalam bentuk wang tetapi dengan cara ini (derma darah) juga adalah sedekah saya kepada pesakit di hospital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 9:00 AM