Dr Mohd (dua dari kanan) dan Dr Mohd Muhaimin (kiri)  meraikan Mohd Kamal (kanan) dan Geok Lan di majlis Hari Penderma Darah Sedunia peringkat negeri di Auditorium HSNZ, Kuala Terengganu, hari ini. Foto Baharom Bakar
Dr Mohd (dua dari kanan) dan Dr Mohd Muhaimin (kiri) meraikan Mohd Kamal (kanan) dan Geok Lan di majlis Hari Penderma Darah Sedunia peringkat negeri di Auditorium HSNZ, Kuala Terengganu, hari ini. Foto Baharom Bakar
Baharom Bakar


WALAUPUN pernah diberi wang dalam jumlah yang besar sebagai saguhati selepas menderma darah, bekas anggota tentera, Mohd Kamal Abd Rahman, 48, tidak menerimanya kerana niatnya berbuat demikian bukan untuk `menjual darah’.

Menurutnya, pengalaman itu dilaluinya ketika bertugas di Kem Desa Pahlawan, Bukit Cina di Kelantan selepas dia bersama 18 lagi anggota diminta oleh pegawai untuk menderma darah kepada seorang usahawan terkenal negeri itu.

“Selepas selesai menderma darah, usahawan terbabit menghulurkan wang sebanyak RM18,000 sebagai saguhati selepas menjamu mereka di sebuah restoran di Kota Bharu.

“Kami hanya mengambil sebanyak RM60 untuk duit minum ketika dalam perjalanan balik ke kem dengan memberi alasan kami tidak menjual darah, sebaliknya membantu menyelamatkan nyawa orang ramai yang memerlukan darah,” katanya.

Mohd Kamal dari Kampung Paroh, Ajil di Hulu Terengganu itu antara 96 individu sudah menderma darah melebihi 50 kali dan menerima kad khas penderma darah di majlis Hari Penderma Darah Sedunia peringkat negeri, hari ini.

Menurutnya, `ketagihan’ menderma darah itu bermula untuk mendapatkan sijil cuti sakit (MC) bagi menghadiri temuduga sebagai anggota pasukan keselamatan.

Katanya, dia tidak menyangka amalan menderma darah sejak berusia 18 tahun kini menjadi ‘ketagih’ apabila tidak melepaskan peluang menderma darah setiap tiga bulan sekali.

Mohd Kamal berkata, dia mula menderma darah ketika berkerja di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu selepas beranggapan majikannya tidak akan meluluskan cuti atau memotong gajinya kerana baru tiga bulan berkerja.

“Saya terpengaruh dengan dakwaan masyarakat yang ketika itu menganggap individu yang bercadang ponteng kerja dan memastikan gaji tidak dipotong boleh mendapatkan cuti rehat dua hari tetapi perlu menderma darah.

“Saya ke Unit Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan bersetuju menderma darah selepas melihat beberapa individu diberi sijil cuti sakit selepas selesai proses itu,” katanya ketika ditemui di Auditorium HSNZ.

Perasmian majlis itu disempurnakan Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Mohd Jusoh.

Hadir sama Ketua Unit Transfusi Darah HSNZ Dr Mohd Muhaimin Kambali, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan (Perubatan) negeri Dr Saifur Rahman Muhammad dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.

Che Adam juga turut menerima kad khas di majlis itu selepas menderma darah melebihi 80 kali.

Mohd Kamal berkata, dia jadi seperti ketagih untuk menderma walaupun ketika menjalani latihan tentera di Port Dickson sehingga bersara awal pada 2002.

Selain itu, menurutnya, dia masih teringat apabila dihubungi doktor pakar dari Unit Transfusi Darah Hospital Tuanku Fauziah, Perlis yang memintanya menderma darah jenis B untuk seorang usahawan terkenal negeri itu kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Katanya, walaupun kejadian itu berlaku pada 2001 dan usahawan terbabit sudah meninggal dunia tetapi hubungannya dengan ahli keluarga ahli perniagaan berkenaan tetap utuh sehingga ke hari ini.

Sementara itu, seorang penderma darah wanita yang turut menerima kad khas selepas menderma darah sebanyak kali 80 kali, Kho Geok Lan, 57, berkata, walaupun berlainan agama dan keturunan tetapi sudah menjadi tanggungjawabnya membantu mereka yang memerlukan darah.

“Walaupun tidak diminta menyertai kempen derma darah tetapi saya akan ke lokasi program dan menderma darah biarpun dianjurkan pertubuhan berlainan agama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mohd berkata, Unit Transfusi Darah HSNZ mendapat pengiktirafan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dijadikan contoh semua hospital di seluruh negara kerana berjaya menganjurkan kempen derma darah selepas solat sunat terawih sepanjang Ramadan lalu.

Menurutnya, pada program kempen derma darah yang diadakan di 32 masjid dan surau di seluruh negeri, sebanyak 1,300 unit darah hasil sumbangan masyarakat diperolehi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2019 @ 5:48 PM