Shahrul Anuar dan Ibrahim Yahya menderma darah pada program anjuran PMPM, Bank Darah Hospital Melaka dan Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah di Dewan PERKIM, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Shahrul Anuar dan Ibrahim Yahya menderma darah pada program anjuran PMPM, Bank Darah Hospital Melaka dan Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah di Dewan PERKIM, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Masjid Tanah: Menabur budi sesama insan tidak seharusnya terhalang hanya kerana diri mempunyai kekurangan berbanding insan normal.

Bagi anggota tentera Shahrul Anuar Abdul Rahim, 38, kecacatan akibat kemalangan ketika menjalani latihan pada 2004, tidak menghalangnya berbakti menderma darah bagi membantu menyelamatkan nyawa.

Dia berkata, akibat kemalangan itu, dia cedera tulang belakang dan terpaksa menjalani enam pembedahan sehingga 2016.

Anggota Kor Jurutera Elektrik Kem Terendak, Sungai Udang itu berkata, dia menderma darah kerana ingin berbakti menyelamatkan nyawa mereka yang dalam kecemasan.

"Alhamdulillah, walaupun berstatus orang kurang upaya (OKU) sejak kemalangan itu, saya tetap tidak mahu melepaskan peluang menabur budi sesama manusia," katanya.

Shahrul Anuar ditemui ketika menderma darah pada program anjuran Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) dengan kerjasama Bank Darah Hospital Melaka dan Pejabat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah di Dewan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), di sini, hari ini.

Anggota polis, Ibrahim Yahya, 56, berkata dia menderma darah kali ke-22 hari ini semata-mata ingin membantu mereka memerlukan.

"Alhamdulillah, saya diberikan kesihatan yang baik setakat ini yang membolehkan saya memberikan khidmat atau amal jariah kepada anggota masyarakat dengan menderma darah.

"Semoga dengan amal yang sedikit itu saya mampu membantu manusia lain yang memerlukan darah untuk meneruskan kehidupan," katanya.

Menjelang persaraannya pada 12 Oktober depan, Ibrahim berazam menabur budi kepada sesama insan dengan amalan itu sekali gus membantu mengekalkan kesejahteraan kesihatannya.

Timbalan Presiden PMPM, Azlin Othman berkata, seramai 88 penderma memberikan sumbangan pada program itu bagi membantu memastikan bank darah mempunyai bekalan darah mencukupi.

"Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada penderma darah kerana sudi membantu menjayakan program itu," katanya.

Sehubungan itu katanya, program berkenaan akan diadakan dari semasa ke semasa bagi membantu mengekalkan bekalan darah di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 3:37 PM