FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

SEORANG lelaki ditahan manakala rakannya diburu selepas meragut suami isteri di hadapan farmasi di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian 11.10 pagi itu, mangsa sedang masuk ke dalam kereta mereka sebelum didatangi kedua-dua suspek menaiki motosikal berasingan.

Beliau berkata, seorang daripada suspek terus merentap seutas rantai leher emas dipakai mangsa wanita berumur 29 tahun sebelum kedua-duanya melarikan diri.

“Suami mangsa mengejar mereka menaiki keretanya sejauh kira-kira 800 meter dan melanggar belakang motosikal salah seorang daripada suspek menyebabkannya terjatuh.

“Melihat rakannya jatuh, seorang lagi suspek datang membawa kunci tayar motosikal untuk memukul suami mangsa berumur 31 tahun itu, namun sempat dielak.

“Disebabkan suspek nampak orang ramai datang membantu lelaki itu, dia terus melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shamsul Amar berkata, suspek berumur 25 tahun yang jatuh itu kemudiannya diikat orang ramai dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, rantai emas diragut itu dirampas semula dan kedua-dua mangsa tidak cedera.

“Siasatan mendapati, suspek bekerja sebagai jurujual telefon bimbit serta mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 392 Kanun Keseksaan iaitu menyamun.

“Semakan ke atas motosikal suspek pula mendapati, ia didaftarkan atas nama lelaki berkenaan, namun ketika melakukan jenayah itu dia menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Polis kini sedang memburu seorang lagi suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi satu minit lapan saat diambil orang awam menunjukkan suspek berkenaan dikepung orang ramai manakala rakannya melarikan diri menaiki motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 6:39 PM