PEGAWAI penguatkuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan di sebuah farmasi. FOTO IHSAN KPDNHEP.
PEGAWAI penguatkuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan di sebuah farmasi. FOTO IHSAN KPDNHEP.
Siti Rohana Idris


TIDAK boleh membeli penutup mulut dan hidung sahaja, tetapi perlu dibeli bersama cecair pembasmi kuman (hand sanitizer).

Itu pembelian bersyarat yang dikenakan sebuah farmasi di bandar Pasir Mas, sebelum premis itu diserbu hari ini, selepas pihak berkuasa menerima aduan awam.

Serbuan pada jam 9.15 pagi itu dijalankan lima penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Pasir Mas.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Daerah KPDNHEP Cawangan Pasir Mas, Asmadi Shafii berkata, seorang pegawai penguat kuasa membuat penyamaran sebagai pelanggan terlebih dahulu.

“Hasil penyamaran mendapati penutup mulut dan hidung dijual secara bersyarat iaitu mesti membuat pembelian bersama cecair pembasmi kuman.

“Penutup mulut dan hidung adalah barangan kawalan, tetapi cecair pembasmi kuman tidak termasuk dalam kategori itu.

“Memang menjadi kesalahan jika ada peniaga yang mengambil kesempatan menjalankan urus niaga seumpama ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Asmadi berkata, pemilik premis berusia 46 tahun disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana membuat jualan bersyarat terhadap barang harga terkawal iaitu penutup mulut dan hidung tiga lapisan.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Ini adalah kes pertama di Kelantan. Peniaga dinasihatkan tidak cuba mengaut keuntungan dengan membuat jualan bersyarat terhadap mana-mana barang harga terkawal.

“Kami sentiasa menjalankan pemeriksaan dari masa ke semasa terhadap peniaga di daerah ini bagi memastikan pengguna tidak terbeban dan tertipu dengan aktiviti perniagaan yang tidak sepatutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 3:53 PM