AKTIVITI Senamseni yang menggabungkan   senamrobik dan zumba sambil diselang-seli dengan tarian mengikut tradisi tiga kaum di Malaysia.
AKTIVITI Senamseni yang menggabungkan senamrobik dan zumba sambil diselang-seli dengan tarian mengikut tradisi tiga kaum di Malaysia.
Norul Awatif Romli


Alor Setar: Kehadiran kira-kira 150 peserta sambil menggayakan pakaian tradisi pelbagai kaum selain pakaian bermotif Jalur Gemilang memberi kelainan pada program Senamseni Perpaduan Jalur Gemilang dalam usaha untuk menyemarakkan sambutan kemerdekaan negara ke-59 pada 31 Ogos ini.

Walaupun hujan renyai, namun semua peserta tetap bersemangat melakukan senamseni yang menggabungkan senamrobik dan zumba sambil diselang-seli dengan tarian mengikut tradisi tiga kaum utama di negara ini selain Siam sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Malah, ada peserta berarak mengelilingi kumpulan senamseni dengan menaiki basikal tua dan motosikal lama ketika lagu Jalur Gemilang dimainkan sebagai simbolik semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum.

Pengerusi Kumpulan Rimba Aerobik, Jamaluddin Abd Karim, 60, berkata, acara tahunan itu dimulakan sejak tahun lalu sebagai inisiatif untuk menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan.

“Kumpulan ini aktif mengadakan aktiviti senamseni sejak enam tahun lalu manakala idea mengadakan sambutan ini tercetus apabila semakin ramai golongan suri rumah dan wanita yang bekerja sendiri termasuk ibu tunggal daripada pelbagai kaum menyertainya.

“Tahun ini kami membuat kelainan sedikit apabila peserta diminta memakai pakaian tradisi kaum masing-masing selain mengenakan baju serta seluar bermotifkan Jalur Gemilang yang dijahit mengikut fesyen tersendiri.

“Saya tidak sangka menerima sambutan begitu menggalakkan apabila lebih 200 bendera turut disumbangkan Ahli Dewan Negara Senator Datuk Seri Boon Som Inong bagi menjayakan program kali ini,” katanya ketika ditemui di Taman Jubli Perak, di sini, semalam.

Katanya, program berkenaan bukan sahaja untuk memanaskan badan, namun turut menyemarakkan semangat cintai negara demi menunjukkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Suri rumah, Wong Sze Hoei, 33, dari Jalan Kilang Tebu, di sini, berkata, dia sanggup mengorbankan pakaian tradisi Cheongsam yang dibeli pada perayaan Tahun Baru Cina, kira-kira dua tahun lalu semata-mata untuk menyertai senamseni sebagai menyokong sambutan bulan kemerdekaan, tahun ini.

“Saya amat sayang baju ini dan walaupun terpaksa bersenamrobik dalam hujan, saya tidak kisah. Di sini, saya boleh jumpa ramai kawan pelbagai kaum dan kami berkumpul bersama-sama sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

“Tidak salah kita luangkan sedikit masa untuk program seperti ini yang diadakan setahun sekali. Paling penting kami seronok dan dalam keseronokan terdapat mesej penting boleh disampaikan kepada rakyat Malaysia iaitu semangat perpaduan ialah kunci penyatuan untuk semua kaum,” katanya.

Katanya, dia juga berharap rakyat Malaysia sentiasa bersatu padu dalam apa jua perkara demi menuju ke arah sebuah negara aman pada masa akan datang.

Seorang lagi peserta, Chintana Ebau, 45, dari Kampung Naka Siam, Kuala Nerang berkata, setiap kali tiba bulan kemerdekaan dia antara yang paling bersemangat menyambutnya dan kali ini memilih untuk memperagakan pakaian tradisi masyarakat Siam iaitu Chut Thai Derm.

“Setiap tahun saya memang tunggu acara seperti ini bagi menyemarakkan semangat patriotik. Program ini amat bagus dan perlu dikembangkan ke peringkat sekolah kerana masih ramai anak muda tidak faham konsep bulan kemerdekaan.

“Mereka perlu didedahkan supaya lebih rasa bersyukur dengan keamanan yang dikecapi negara. Perpaduan yang dimiliki ini juga patut dikekalkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 8:56 AM