Mohd Noor Izzat.
Mohd Noor Izzat.
Oleh Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Pihak berkuasa agama di negara ini digesa bertindak segera dengan mana-mana gerakan yang membawa ajaran songsang di negara ini bagi mengelakkan keresahan umat Islam.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) Mohd Noor Izzat Johari berkata, pihaknya sudah meneliti beberapa klip video yang dibuat wanita yang dikenali dengan nama Sittah Annur itu dan mendapati wujud beberapa elemen mencurigakan.

Katanya, walaupun mimpi seseorang itu adalah perkara biasa dan bersifat peribadi, namun tindakannya berkongsi kepada umum menimbulkan persoalan.

"Kita persoalkan mengenai mengapa dia berkongsi mengenai mimpi itu yang mengaitkan kisah akhir zaman.

"Cerita di dalam mimpi itu pula terbahagi kepada beberapa bahagian. Ada yang hanya 20 peratus dan akan disambung dan sebagainya. Pada saya ini yang tidak betul dan perlu disiasat segera," katanya.

Mohd Noor Izzat berkata, pihaknya juga berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Idris Ahmad yang baru dilantik ke jawatan itu menjadikan pembanterasan ajaran sesat sebagai satu agenda utama.

Katanya, perlu ada tindakan tegas daripada pihak berkuasa agama untuk menangani isu doktrin palsu ini agar tidak berulang pada masa depan.

Dalam laporan bersiri sejak Ahad lalu, akhbar ini melaporkan, seorang wanita berusia 39 tahun yang menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembangkan ajaran PMYT yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 2:20 PM