DATUK Seri Abd Jalil Hassan
DATUK Seri Abd Jalil Hassan
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Susulan pendedahan eksklusif akhbar ini bermula Ahad lalu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman hari ini mengesahkan pihaknya membuka kertas siasatan terhadap Sittah Annur berusia 39 tahun yang didakwa mengembangkan ajaran Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) kerana dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook (FB) Masitah Ab Jalar atau dikenali dengan nama Sittah Annur yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan ajaran sesat PMYT.

Menurutnya, siasatan menjurus kepada penularan beberapa rakaman video mengandungi kenyataan yang menyentuh aqidah serta ajaran Islam melalui akaun YouTube Cahaya Islam dan S'ttah An Nur PMYT serta di pelbagai platform media sosial sejak beberapa hari yang lalu.

"Antara kandungan rakaman video yang tular adalah pengakuan wanita terbabit mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah, malaikat dan Nabi Muhammad SAW.

"Beliau turut mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan untuk umat yang lain dan sesiapa yang menyakiti atau menghalang dirinya dari menyampaikan ajaran boleh dicabut nyawa oleh Allah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Jalil berkata, suspek sudah dikenal pasti dan diambil keterangan dan PDRM dalam usaha untuk mengesan serta mengenal pasti individu lain yang terbabit dalam kes ini bagi melengkapkan siasatan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan (kesalahan yang menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"PDRM menasihatkan orang ramai supaya cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum," katanya.

Beliau berkata, PDRM turut menggesa orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

"Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan

awam.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam kenyataannya memaklumkan akan mengarahkan PDRM untuk mengambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kepada mana-mana individu yang cuba menimbulkan kegusaran, menakut-nakutkan dan mengganggu ketenteraman awam termasuk kepada kumpulan PMYT.

Bermula 29 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan, seorang wanita berusia 39 tahun yang menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembangkan ajaran PMYT yang dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

Selain bercerita mengenai peperangan itu, Sittah Annur turut mendakwa dirinya beryaqazah dengan malaikat dan bertemu secara jaga (sedar) dengan Nabi Muhammad SAW dan merangka pelan keluar bersama pengikutnya jika peperangan berlaku.

Malah, bagi meyakinkan pengikutnya, Sittah Annur turut dikesan menjaja nama beberapa orang pemimpin negara, pemimpin dunia dan tokoh agama sebagai khalifah kepada ajarannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 9:17 PM