Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sungai Siput: Lelaki warga emas ditemukan maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas di laluan pejalan kaki di monumen bersejarah Jambatan Victoria, Karai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7.50 pagi itu, getah sekerap didapati bertaburan di sebelah lelaki warga emas yang juga seorang pekebun berusia lingkungan 60 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu melanggar tiang besi bersebelahan laluan pejalan kaki di atas jambatan terbabit.

LELAKI warga emas yang ditemukan maut selepas motosikal membawa sekerap getah ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas di laluan pejalan kaki di Jambatan Victoria, Karai. FOTO Ihsan pembaca
LELAKI warga emas yang ditemukan maut selepas motosikal membawa sekerap getah ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas di laluan pejalan kaki di Jambatan Victoria, Karai. FOTO Ihsan pembaca

"Terdapat kesan geseran pada tiang besi atas jambatan yang menghubungkan pekan kecil Karai dengan Seberang Karai itu, dipercayai hasil geseran motosikal mangsa.

"Buat masa ini, kami belum dapat pastikan lagi punca kematian mangsa sehinggalah hasil bedah siasat di Hospital Sungai Siput diperoleh kelak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 1:25 PM