PENUNGGANG motosikal menggunakan laluan pejalan kaki di Jambatan Victoria. FOTO Muhammad Zulsyamini
PENUNGGANG motosikal menggunakan laluan pejalan kaki di Jambatan Victoria. FOTO Muhammad Zulsyamini
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


JAMBATAN Victoria yang juga antara jambatan tertua di negara ini dibimbangi mendatangkan bahaya kepada pengguna kerana beberapa ciri keselamatannya terabai.

Tinjauan mendapati beberapa batang besi penghadang di laluan pejalan kaki di sisi jambatan itu hilang, selain ketiadaan pagar dawai yang sepatutnya menjadi penghalang bagi menghindari pengunjung terjatuh ke Sungai Perak.

Malah, laluan kecil di jambatan itu turut dilalui penunggang motosikal yang berulang-alik antara pekan Karai dengan Kampung Seberang Karai.

Biasanya penunggang akan memberhentikan motosikal apabila berselisih dengan motosikal atau pejalan kaki lain berikutan keadaannya yang sempit.

Penduduk Kampung Seberang Karai, Rosni Abdul Rahim, 50, berkata, sebelum ini ada pagar dawai di sisi jambatan itu, tetapi ditanggalkan penduduk kerana berlaku beberapa kemalangan membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal serta pejalan kaki.

Katanya, keadaan itu terjadi apabila pagar dawai berkenaan tidak dipasang dengan betul selepas ditanggalkan kira-kira dua tahun lalu.

MOHD Zamri (kiri) dan Rosni.
MOHD Zamri (kiri) dan Rosni.

“Pada asalnya, pagar dawai itu dipasang di sebelah luar penghadang, namun selepas dipasang semula ia tidak dibuat dengan sempurna serta dipasang pada sebelah dalam laluan berkenaan. Ini menyebabkan ia memakan ruang laluan pejalan kaki dan motosikal.

“Besi penghadang pula banyak yang hilang dipercayai dicuri penagih dadah,” katanya.

Ketua Kampung Seberang Karai, Mohd Zamri Ibrahim, 45, berkata, pihaknya bercadang mengusulkan kepada Jabatan Warisan Negara dalam waktu terdekat supaya ciri keselamatan di jambatan itu dipertingkatkan.

Katanya, masalah itu sudah dimaklumkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar, namun diberitahu ia di luar bidang kuasa pejabat berkenaan kerana Jambatan Victoria diwartakan sebagai Warisan Negara.

“Saya berharap Jabatan Warisan mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah ini kerana ia bukan sahaja membabitkan reputasi pelancongan, malah mengundang bahaya kerana laluannya yang bersambung,” katanya.

BESI penghadang jambatan yang hilang. FOTO Muhammad Zulsyamini
BESI penghadang jambatan yang hilang. FOTO Muhammad Zulsyamini

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 5:15 AM