Kuching.
Kuching.
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak tidak memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) secara menyeluruh walaupun berlaku peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 sejak dua minggu lalu.

Sebaliknya, kelonggaran diberikan sebelum ini ditarik balik hanya di lapan daerah di kawasan selatan iaitu di Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, ia berikutan sebahagian besar kes jangkitan baharu di negeri ini tertumpu di lapan daerah terbabit.

Antara kelonggaran ditarik balik ialah kebenaran 'dine-in' yang berkuatkuasa sejak 22 Ogos lalu sehingga 5 September ini.

Tempoh operasi premis perniagaan di lapan daerah itu juga dihadkan mulai jam 5 pagi hingga 8 malam dalam tempoh 22 Ogos hingga 5 September ini.

Selain itu, individu atau kumpulan tidak dibenarkan berada di kawasan awam selepas jam 10 malam tanpa alasan yang munasabah.

Pergerakan rentas daerah dari lapan daerah di zon selatan itu ke daerah lain perlu mendapatkan permit polis dan keputusan negatif ujian rt-PCR atau RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Lapan daerah itu menjadi penyumbang utama ke jangkitan baharu COVID-19 di negeri ini sejak dua minggu lalu dengan semalam sahaja sebanyak mencatatkan sebanyak 1,528 daripada 2,028 kes baharu negeri ini.

Bagi 32 lagi daerah di negeri ini, semua aktiviti dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 2:51 PM