Gambar hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Gambar hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak melarang aktiviti 'dine in' bagi individu lengkap dua dos vaksin memandangkan kesedaran rakyat berhubung peningkatan kes Covid-19 di negeri itu amat tinggi.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia dapat dilihat apabila sejak aktiviti berkenaan dibenarkan, masih ramai tidak berani makan di dalam premis kerana merasakan keadaan belum selamat.

Beliau berkata, pemilik premis didapati masih tidak membuka perniagaan mereka, sebaliknya terus mengamalkan konsep pandu lalu dan bawa pulang.

"Kita lihat tiada keperluan untuk sekat rakyat yang lengkap menerima dua dos vaksin untuk 'dine in' kerana kesedaran mereka amat tinggi mengenai peningkatan kes di negeri ini dan mengamalkan sikap berhati-hati.

"Bahkan sejak aktiviti itu dibenarkan, tidak ramai yang berkunjung untuk makan dalam premis dan banyak pemilik masih tidak membuka kedai.

"Ini menunjukkan rakyat amat bertanggungjawab dan perkara ini yang kita mahukan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditanya sama ada Pulau Pinang mahu melarang aktiviti 'dine in' susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri berkenaan sejak kebelakangan ini.

Terdahulu, Chow menerima sumbangan 20,000 dos vaksin Covid-19 secara percuma daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SP Arena, Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Pada 8 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan individu sudah menerima vaksinasi lengkap diberi kelonggaran dengan membenarkan aktiviti rentas daerah, solat berjemaah di masjid dan surau serta 'dine-in' di restoran.

Kemudahan itu terbahagi kepada dua iaitu semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kepada negeri yang berada di fasa dua dan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 2:14 PM