FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pengumuman kelonggaran aktiviti harian bagi mereka yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 tadi, disambut gembira terutama penduduk menetap di negeri Fasa Dua dan Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ia sekali gus mampu merancakkan kembali sektor ekonomi domestik selain mengaktifkan semula aktiviti sosial yang suram sejak beberapa bulan lalu.

Bagi Muhammad Rizuwan Sakur, 34, kebenaran untuk umat Islam menunaikan ibadah di masjid dan surau bagi semua negeri ternyata antara yang amat dinanti-nantikannya.

"Sejak lebih setahun aktiviti di masjid dan surau agak suram berikutan penutupan beberapa kali ekoran peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

"Kelonggaran ini perlu digunakan sebaik mungkin untuk orang ramai kembali mengimarahkan masjid dan surau terutama menunaikan solat lima waktu.

"Saya menyambut baik pengumuman kerajaan ini yang pastinya turut dipersetujui semua kariah di negeri Fasa Satu, Fasa Dua dan Fasa Tiga. Mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin perlu ambil kesempatan ini untuk solat berjemaah termasuk solat Jumaat," katanya kepada Harian Metro.

Perdana Menteri tadi, mengumumkan pihak masjid dan surau perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan jemaah terus pulang selepas selesai solat dipatuhi.

Dalam pada itu, rakyat di negeri yang sudah mencapai Fasa Dua dan fasa Tiga PPN pula dibenarkan untuk makan semula di kedai atau restoran bermula Selasa ini.

Faris Kamarudin, 21, berkata, keputusan itu memudahkan individu yang bekerja untuk menjamu selera berbanding perlu membungkus makanan seperti sebelum ini.

"Kelonggaran ini bagaimanapun diharap tidak digunakan sebagai alasan untuk melepak kerana ia boleh mengundang risiko jangkitan.

"Orang ramai perlu mendengar nasihat kerajaan yang mengingatkan mereka supaya tidak mengambil masa lama untuk makan selain pengusaha premis perlu memastikan pengudaraan yang baik dan terbuka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 6:48 PM