Shamran Sarahan dan Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Berita gembira buat semua apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa kelonggaran kepada penerima lengkap vaksin Covid-19, hari ini, membabitkan kemudahan perjalanan, kuarantin dan sektor sosial bermula Selasa ini (10 Ogos).

Kelonggaran itu termasuk kebenaran merentas daerah dan negeri, selain kebenaran solat di masjid serta surau, makan di dalam restoran (dine-in), aktiviti sukan kegiatan luar dan separa terbuka, serta kebenaran menginap di hotel dan inap desa bagi sektor pelancongan.

Muhyiddin berkata, keputusan itu dibuat dengan sangat berhati-hati dan ia selaras dengan data dikumpul di dalam negara mengenai keberkesanan vaksinasi lengkap serta prinsip sains dan kesihatan awam yang diguna pakai di seluruh dunia.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan bersetuju memberikan kemudahan kuarantin dan perjalanan serta dan sektor sosial untuk individu yang vaksinasi lengkap di seluruh negara dan terpakai ke atas semua fasa di dalam Pelan Pemulihan Negara.

Katanya, bagi kemudahan kuarantin dan perjalanan, antara kelonggaran yang dibenarkan ialah pengembara warganegara dan bukan warganegara mempunyai kediaman di Malaysia dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan Dan Pemerhatian Di Rumah (HSO) digital.

"Pasangan suami isteri jarak jauh yang mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan rentas daerah atau negeri untuk bertemu pasangan masing-masing.

"Ibu bapa yang mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan merentas daerah dan negeri untuk berjumpa anak di bawah umur 18 tahun.

"Kerajaan juga bersetuju supaya aktiviti solat sahaja dibenarkan di masjid dan surau bagi Jemaah yang telah menerima vaksinasi lengkap, ia terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara.

"Kemudahan ini juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah-rumah ibadat," katanya dalam Perutusan Khas secara maya, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju memberikan kemudahan bagi sektor sosial kepada individu yang menerima vaksinasi lengkap dan menetap di negeri dalam Fasa 2 dan seterusnya.

Menurutnya, rentas daerah dibenarkan dan individu yang ingin melakukan perjalanan rentas daerah mesti menunjukkan kepada petugas keselamatan di sekatan jalan raya sijil digital vaksinasi Covid-19 (digital certificate Covid-19 vaccination).

Muhyiddin tiba di Bangunan Perdana Putra. FOTO NOOR ATIQAH SULAIMAN
Muhyiddin tiba di Bangunan Perdana Putra. FOTO NOOR ATIQAH SULAIMAN

"Aktiviti dine-in (makan dalam restoran) dibenarkan. Bagaimanapun, saya ingin menasihatkan orang ramai untuk dine-in apabila perlu sahaja dan tidak meluangkan masa yang terlalu lama.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk take-away jika situasi mengizinkan. Pilihlah premis yang mempunyai sistem pengudaraan yang baik dan terbuka.

"Bagi pasangan yang menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak berusia 17 tahun dan ke bawah untuk dine-in di premis kedai makan, pastikan anak anda mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ketat," katanya.

Dalam perutusan khas itu, Muhyiddin turut mengumumkan, aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan turut dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal serta dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam.

"Aktiviti dine-in di restoran atau kafe di premis club house (rumah kelab sukan) adalah dibenarkan selaras dengan kebenaran dine-in.

"Operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house adalah tidak dibenarkan. Ini bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan," katanya.

Antara lain, beliau berkata, aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama dibenarkan membabitkan inap desa dan hotel.

"Perincian bagi kemudahan yang baru saya umumkan ini akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam waktu yang terdekat.

"Kemudahan-kemudahan sektor ekonomi sedang dibincang dan dipertimbangkan di peringkat Sidang Khas MKN dan akan saya umumkan dalam waktu terdekat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 5:11 PM