Gambar Hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Gambar Hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Persatuan Madrasah Tahfiz al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran) mendapati sebanyak 64.7 peratus maahad tahfiz di negara ini perlu menutup operasi atas arahan kerajaan.

Presidennya, Manolito Mohd Dahlan berkata, ia berdasarkan kajian pihaknya terhadap 512 maahad tahfiz di negara ini.

Katanya, kajian mendapati 11.7 peratus maahad tahfiz perlu memberhentikan semua kakitangan, mampu bayar separuh gaji (52 peratus), boleh bertahan tidak lebih tiga bulan (34.4 peratus), tidak menerima bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) (38.1 peratus) dan menerima yuran separuh atau kurang kerana ibu bapa tidak berkemampuan (85.4 peratus).

Katanya, secara keseluruhan ketika ini terdapat sebanyak 1,198 maahad tahfiz persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Jakim dengan 84,643 murid dan 10,357 guru.

"Setakat ini kerajaan sama ada kerajaan pusat, kerajaan negeri, JAIN dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sudah membantu dengan memberikan bantuan secara 'one off' kepada maahad tahfiz seluruh negara.

"Bagaimanapun sejak Mac tahun lalu apabila berlaku pandemik Covid-19 operasi maahad tahfiz swasta berkenaan terjejas teruk," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu dilaporkan di media, 60 maahad tahfiz di Perak di ambang kritikal menjelang September ini.

Selain itu, turut dilaporkan adalah pusat tahfiz tiada wang bayar gaji 8,000 guru berikutan yuran tertunggak serta dianggarkan 10 peratus pusat tahfiz seluruh negara terancam.

Manolito berkata, maahad tahfiz adalah satu benteng utama umat Islam untuk memahami al-Quran serta melahirkan pemimpin berjiwa Quranic.

Oleh itu katanya, ia perlu diselamatkan bagi mengelak lagi pemberhentian kakitangan, tiada pemotongan gaji kakitangan malah penutupan operasi.

"Justeru Permata Al-Quran memohon kerajaan membantu menyalurkan bantuan perkapita atau bantuan khas kepada kakitangan termasuk guru, kerani, warden, tukang masak dan pekerja am.

"Selain itu turut membenarkan maahad tahfiz beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.

Beliau turut meminta Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jakim, JAIN dan MAIN supaya membantu maahad tahfiz di seluruh Malaysia dari terus terancam dan menutup operasinya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 12:47 PM