Gambar Hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Gambar Hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Lebih separuh daripada keseluruhan maahad tahfiz di negeri ini hanya mampu bertahan kira-kira tiga bulan sahaja lagi kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 di seluruh negara Mei lalu.

Pengerusi Persatuan Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Perak (Pematap) Mohd Azlan Suhaimi berkata, jumlah itu berdasarkan kaji selidik pihaknya kepada maahad tahfiz melalui 'google form' pada 28 Mei lalu berkaitan situasi maahad tahfiz swasta sepanjang PKP 3.0.

Katanya, seperti sedia maklum Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) sebelum ini mengeluarkan surat penangguhan operasi

maahad tahfiz berkuat kuasa serta merta pada 31 Mei lalu.

"Kaji selidik berkenaan disertai oleh 102 maahad tahfiz, kesimpulannya 60 daripada 102 maahad tahfiz hanya mampu bertahan tiga bulan dan ke bawah sahaja.

"Selebihnya masih mampu bertahan sekitar empat bulan hingga enam bulan daripada bulan Mei tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Azlan berkata, ia sekali gus memberi kesan yang negatif dan dianggarkan 2,500 pelajar akan keciciran dan 300 guru akan hilang pekerjaan.

Menurutnya, pembelajaran dalam talian juga tidak memberi peratus yang tinggi dalam mengekalkan kualiti hafazan dalam kalangan huffaz, malah pelajar yang tercicir pun melebihi 50 peratus.

"Justeru itu, kita berasa sangat bimbang dengan kelangsungan maahad tahfiz al-Quran swasta di Perak ketika ini, juga dengan khabar bahawa ada maahad tahfiz sudah bercadang untuk menutup operasi.

"Kami memohon pertimbangan pembukaan semula maahad tahfiz mulai 1 September tahun ini dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa Dua dengan syarat-syarat yang tertentu," katanya.

Beliau berkata, Pematap juga memohon kerajaan negeri mengambil maklum perkembangan ini sama ada tindakan sewajarnya termasuk bantuan kewangan secara sekali bayar.

Katanya, walaupun maahad tahfiz adalah persendirian atau swasta, pihaknya juga sebahagian daripada kerajaan negeri kerana semua aset iaitu tanah dan bangunan sudah diwakafkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak bernilai ratusan juta ringgit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 6:43 PM