GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jumlah hutang ibu bapa pelajar di maahad tahfiz mencecah RM8 juta dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, kerana tidak mampu membayar yuran pengajian anak mereka susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS), Muhamad Hafiz Mohamad Haneefa berkata, angka itu direkodkan bagi 250 maahad tahfiz yang bernaung di bawah PITAS.

Katanya, apabila ibu bapa berdepan cabaran untuk membayar yuran berkenaan, pusat tahfiz juga terkesan kerana tidak mampu membayar gaji guru, bil air, bil elektrik juga sewa bangunan dan urusan berkaitan.

"Kita tahu dan faham, ramai sedang susah sekarang.. walaupun kebanyakan maahad tahfiz beri diskaun termasuk milik saya saya sendiri sebanyak 40 peratus tetapi ibu bapa tetap sukar membayarnya.

"Jadi, dua minggu lalu kami membentangkan kertas kerja kepada pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk menilai 250 Maahad Tahfiz di bawah PITAS yang terkesan.

"Alhamdulillah, terima kasih Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan MAIS atas usaha bantuan sebanyak RM200,000 kepada 250 maahad tahfiz... ini memberikan sinar kami, jadi kita utamakan yang paling memerlukan dulu," katanya di sini.

Selain kepada PITAS, Abdul Aziz turut menyampaikan simbolik replika cek MAIS kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid, JAIS, Hazman Che Mohamed sebanyak RM337,500 bagi masjid dan surau yang terkesan di Selangor.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya juga sudah berbincang dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan MAIS berhubung nasib 10 daripada 250 maahad tahfiz berkenaan yang terpaksa ditutup sementara waktu.

"MAIS juga beri bantuan segera kepada 10 maahad tahfiz kerana tidak dapat membayar gaji guru berkenaan. Pada masa sama LZS akan bantu guru ini, manakala JAIS sedang nilai bentuk bantuan boleh diberikan.

"Saya difahamkan LZS akan memberi bantuan RM500 one off kepada guru-guru ini terutamanya yang terkesan seperti diberhentikan kerja atau dipotong gaji.

"Hari ini ada penerangan terperinci berhubung perkara ini kepada kira-kira 3,000 guru tahfiz," katanya.

Beliau berkata, tahun lalu utiliti seperti bil air, bil elektrik serta sewa bangunan yang tertunggak mencecah RM2 juta dan dilangsaikan oleh LZS.

"MAIS juga menyumbang RM100,000 kepada kami. Pada masa sama, kita saling membantu maahad tahfiz yang tidak mampu melalui tabung kebajikan yang ditubuhkan" katanya .

Dalam pada itu katanya, pelajar tahfiz tetap menjalani Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR) namun belajar al-Quran tidak semudah subjek akademik.

"Di rumah pembelajaran al-Quran secara PDPR agak sukar dan kurang sesuai, bukan tidak boleh tetapi tidak dapat maksimum hasilnya ..mungkin subjek akademik boleh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 1:29 PM