GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran) lega dengan peningkatan peruntukan khusus penyelengaraan untuk institusi pendidikan agama Islam dalam Bajet 2022 yang dibentangkan semalam.

Presidennya, Ustaz Manolito Mohd Dahlan berkata, warga tahfiz seluruh negara sangat bersyukur dan merakamkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan meluluskan bajet khusus penyelenggaraan meningkat dari RM100 juta bagi 2021 kepada RM140 juga untuk 2022.

Beliau berkata, peningkatan peruntukan itu sangat perlu seiring pertambahan jumlah institusi seperti dilaporkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad.

"Institusi yang berdaftar adalah 141 pondok, 803 tahfiz (ikut kajian Permata Al-Quran terdapat 1,198 tahfiz), 205 sekolah agama rakyat dan 127 sekolah agama swasta.

"Institusi dalam proses berdaftar ada 39. Institusi tidak berdaftar namun sedang berusaha untuk berdaftar ada 324.

"Jumlah keseluruhannya adalah sebanyak 1,639 institusi," katanya.

Beliau berkata, hampir setiap bulan berlaku pertambahan maahad tahfiz di seluruh Malaysia.

Justeru, beliau berkata, hasil dapatan kajian pihaknya, beberapa cadangan wajar diperhalusi kerajaan khusus bagi penambahbaikan pengurusan serta kaedah penyaluran kepada institusi tahfiz.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu lebih efisyen seragamkan dan kemaskinikan data (dan) kena proaktif serta ada penyelarasan antara data negeri dan data pusat Jakim.

"Saranan kami pihak negeri dan Jakim boleh menggunakan platform kerjasama pintar dengan persatuan tahfiz di peringkat negeri dan negara untuk mendapatkan data terkini," katanya.

Selain itu, katanya, hasil pengamatan pihak persatuan antara faktor kekangan utama berlakunya kurang efisien dan kelewatan penyaluran kewangan dari Jakim ke akaun madrasah adalah kerana agensi itu kurang kakitangan tetapi bebanan terlalu banyak.

Sehubungan itu, katanya, pihak persatuan sarankan agar kerajaan kelak meluluskan pertambahan kakitangan Jakim dan jabatan agama Islam negeri.

"Selain bantuan penyelenggaraan, turut diperlukan bantuan bagi menaiktaraf bangunan terutama fokus berkaitan keselamatan.

"Begitu juga dengan bantuan untuk menaik taraf kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di maahad tahfiz agar bersesuaian dengan pendidikan abad 21," katanya.

Apapun, katanya, pihak Permata al-Quran merakamkan penghargaan khususnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Hal Ehwal Agama dan Jakim yang cakna terhadap pelbagai kebajikan khususnya institusi tahfiz.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 4:13 PM