Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Ibu kandung dijangkiti Covid -19 dan kematian emak rakannya akibat virus itu membuka hati serta meyakinkan seorang wanita di sini, untuk divaksinasi.

Syuaibattul Rabiatul Addawiyah Jaafar Sidek, 25, berkata, sebelum ini dia bukanlah seorang yang antivaksin tetapi hanya tidak mempunyai keyakinan dan belum bersedia untuk mengambil vaksin berkenaan.

Menurutnya, semuanya berubah selepas ibunya, Fauziah Rafie, 55, yang sudah lengkap divaksinasi disahkan positif Covid-19 pada awal bulan ini.

"Saya melakukan solat hajat memohon pentunjuk untuk mengambil vaksin dan keesokannya ibu pula disahkan positif Covid-19.

"Alhamdulillah, saya lihat ibu menjalani kuarantin di rumah tanpa sebarang gejala yang serius, malah masih boleh membaca al-Quran," katanya ketika ditemui di Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh di sini, hari ini.

Pekerja syarikat swasta itu berkata, rakannya pula kehilangan ibu akibat Covid-19 yang tidak sempat mendapatkan vaksin juga memberikan kesedaran kepadanya.

SYUAIBATTUL Rabiatul Addawiyah menunjukkan kad vaksinasi Covid-19 di Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
SYUAIBATTUL Rabiatul Addawiyah menunjukkan kad vaksinasi Covid-19 di Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

"Sebelum ini, saya bukanlah tidak mahu (ambil vaksin) tetapi agak ragu-ragu walaupun ramai yang menasihatkan dan kelemahan saya adalah suka memikirkan (keberkesanan vaksin) melalui pembacaan.

"Selepas terjadi kepada ibu sendiri, saya yakin dan dipermudahkan jalan untuk ambil vaksin. Selepas dicucuk saya berasa lega dan berserah pada Allah SWT kerana ia adalah ikhtiar untuk mencegah Covid-19 (daripada semakin serius)," katanya.

Sementara itu, Penggerak Rumah Ngaji Teluk Muroh Datin Maziah Rafie berkata, program berkenaan membabitkan seramai 300 penduduk sekitar Teluk Muroh turut mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Manjung, Mercy Malaysia Perak Chapter, Sukarelawan Rumah Ngaji, Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) Komuniti Teluk Muroh dan Pejabat Ahli Parlimen Lumut.

"Respon dan kesedaran mengenai vaksin sangat menggalakkan dan kita mengambil masa seminggu untuk mengumpulkan mereka. Ini adalah usaha kita membantu penduduk kampung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 3:25 PM