SUASANA sekitar pengebumian jenazah positif Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
SUASANA sekitar pengebumian jenazah positif Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah menguruskan 776 jenazah pesakit Covid-19 dari beberapa hospital di negeri ini sehingga 10 Ogos lalu.

Jumlah berkenaan membabitkan 357 jenazah dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR); Hospital Shah Alam (13); Hospital Ampang (142); Hospital Serdang (73); Hospital Kajang (71); Hospital Banting (44); Hospital Tanjong Karang (8); Hospital Sabak Bernam (370) dan 20 jenazah dari hospital swasta.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkhidmatan pengurusan jenazah yang dilaksanakan JAIS adalah percuma, cuma kos pengurusan tanah perkuburan sahaja yang perlu dibayar oleh waris.

"Sekiranya, tanah perkuburan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT), kos adalah antara RM120 hingga RM300 manakala bagi kubur kariah, kos tidak melebihi RM500," katanya.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua berkata sedemikian ketika menjawab pertanyaan, Azmizam Zaman Huri (PKR-Pelabuhan Klang) mengenai pengurusan jenazah Covid-19 di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGOi) yang ingin membantu JAIS dalam pengurusan jenazah Covid-19 di hospital di negeri ini perlu mengikut beberapa syarat yang ditetapkan jabatan itu.

"Antaranya, berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia atau berdaftar dengan Permerbadanan Pemegang Amanah jika berentiti sebagai sebuah Yayasan dan tujuan penubuhan NGOI itu mempunyai kaitan dengan peningkatan syiar Islam, pembangunan sosial dan kebajikan ummah.

"Tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, pelanggaran undang-undang yang dikuatkuasakan atau sebarang laporan yang dikaitkan dengan suatu tindakan yang tidak baik selepas didaftarkan; mempunyai reputasi dan jalinan hubungan yang baik dengan agensi-agensi berkepentingan.

"Perkhidmatan yang diberikan adalah berasaskan tugas-tugas kesukarelawanan dan tiada sebarang bayaran dikenakan oleh JAIS; sebarang caj yang akan dikenakan oleh pihak NGOi yang berkaitan dengan pengurusan jenazah hendaklah mengikut kadar munasabah yang ditetapkan oleh hospital dan semua petugas hendaklah terdiri daripada mereka yang beragama Islam dan berumur sekurang-kurangnya 18 tahun ke atas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 12:30 PM