Annuar Musa.
Annuar Musa.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan baharu perlu mengambil langkah 'luar kotak' dan berani membuat perubahan demi menstabilkan politik negara, ekonomi serta mendapatkan keyakinan pelabur.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, antara aspek penting adalah muafakat kerajaan-pembangkang untuk memulihkan negara.

"Saya percaya Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) akan segera menjemput Ketua Pembangkang untuk menyusuri gagasan ini.

"Parti politik pembangkang boleh memulakan budaya 'healthy and positive engagement' selain menukar budaya membangkang dengan cara yang tidak konstruktif," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam konteks pemulihan negara, Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, kerajaan perlu berani mengambil beberapa langkah termasuk memudahkan urusan pelaburan dan perniagaan, memberi insentif terbaik kepada sektor perniagaan serta tiada kerenah birokrasi.

"Usaha yang khusus bagi membentuk suasana kondusif dan mesra perniagaan perlu diwujudkan.

"Peluang pekerjaan perlu diwujudkan supaya anak muda dapat segera masuk ke sektor produktif. Ruang pembabitan anak muda dan wanita perlu segera diberi keutamaan," katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Najib Razak berpandangan pendekatan Keluarga Malaysia dan pelawaan kepada pihak pembangkang untuk menyumbang kepada pemulihan negara membuktikan sifat inklusif dan keterbukaan kerajaan baharu demi negara serta rakyat.

Menurutnya, Perdana Menteri sudah menggariskan keutamaan negara iaitu pendekatan yang lebih menyeluruh untuk melawan Covid-19, membantu rakyat dan memulihkan ekonomi.

"Bagi mengembalikan kesejahteraan dan keselesaan hidup yang pernah dikecapi suatu ketika dulu, saya dan seluruh rakyat Malaysia akan membantu merealisasikan impian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 2:20 PM