SAMA-SAMALAH kita berdoa agar 2022 akan memberikan sinar harapan baharu kepada rakyat dan negara sekali gus dilindungi dari krisis kesihatan, ekonomi, politik dan juga bencana alam. FOTO Arkib NSTP
SAMA-SAMALAH kita berdoa agar 2022 akan memberikan sinar harapan baharu kepada rakyat dan negara sekali gus dilindungi dari krisis kesihatan, ekonomi, politik dan juga bencana alam. FOTO Arkib NSTP
Noor Mohamad Shakil Hameed

Tinggal beberapa hari saja lagi untuk 2021 melabuhkan tirainya dan bakal dikenang sebagai satu lagi tahun yang cukup mencabar kepada kita semua apabila terus diuji dengan pelbagai dugaan dan musibah yang kelihatan belum bernoktah. Tatkala kehidupan rakyat dan pertumbuhan ekonomi mula menampakkan sedikit pemulihan selepas tempoh panjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), secara tiba-tiba negara dikejutkan pula dengan bencana banjir besar yang melanda beberapa negeri. Situasi banjir di Lembah Klang misalnya cukup mengejutkan sekali gus merencatkan sinar harapan rakyat di penghujung detik 2021.

Secara umumnya, rakyat dan negara masih bergelut dengan pelbagai masalah, krisis dan musibah sepanjang 2021. Menelusuri beberapa peristiwa penting yang berlaku sepanjang 2021 yang bakal dipateri kemas dalam lipatan sejarah negara ini, banyak juga yang boleh dijadikan panduan, pengajaran dan iktibar untuk masa akan datang.

Sesungguhnya kita memulakan 2021 dengan kejadian banjir di beberapa negeri dengan paling buruk di Maran, Pahang. Pada 12 Januari pula kerajaan mengumumkan darurat seluruh negara, pelaksanaan suntikan vaksin bagi mengekang penularan wabak Covid-19 pula bermula Februari manakala peningkatan mendadak kes menyebabkan kerajaan melaksanakan PKP 3.0 mulai 12 Mei hingga 27 Jun termasuk sekatan pergerakan penuh mulai 1 Jun 2021.

Situasi politik juga terus bergolak apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos dan digantikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 20 Ogos 2021. Akhirnya kita bakal menutup tirai 2021 dengan satu lagi tragedi pahit iaitu banjir besar yang meragut sejumlah nyawa serta menyebabkan kerugian yang cukup besar kepada rakyat dan negara. Selain rumah dan peralatan semua musnah, ribuan perniagaan termasuk syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilaporkan menanggung kerugian berbilion ringgit. Bayangkan apa nasib keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan bagaimana pula nasib peniaga yang terus dirundung malang selepas tempoh PKP.

Apa-apa pun memasuki jendela 2022 kita perlu segera bangkit daripada situasi ini. Walaupun perit dan terus dilanda musibah seperti banjir, sejujurnya kita tidak mempunyai banyak pilihan. Sudah tentu kita tidak mahu terus meratapi segala krisis, masalah dan musibah yang mencengkam khususnya sejak tercetusnya wabak Covid-19 dan dalam hal ini rakyat meletakkan harapan yang cukup tinggi kepada kerajaan. Kerajaan perlu mendahulukan dan menyalurkan bantuan mengikut keutamaan, misalnya ramai yang cukup terkesan dengan banjir besar dan bakal mengambil masa yang lama untuk pulih daripada kesan musibah ini.

Justeru, besarlah harapan kita agar bantuan pasca banjir kepada semua mangsa dilipatgandakan dan disalurkan dengan segera mengikut keperluan mangsa tanpa sebarang karenah birokrasi. Sudah tentu mangsa mahu melupakan tragedi ini sekali gus ingin memulakan kehidupan baharu menjelang 2022. Maka bantulah mereka membina hidup baharu dengan segera.

Seterusnya kita mahukan kerajaan segera menamatkan penularan wabak di negara kita. Cukuplah dua tahun kita menderita akibat kesan wabak ini, memasuki 2022 kita mahu memulihkan kehidupan masing-masing secara total tanpa perlu takut lagi dengan virus.

Walaupun sejak kebelakangan ini kes positif kelihatan sudah berkurangan dan penularan juga nampaknya terkawal namun ancaman varian baharu seperti Omicron tetap membimbangkan rakyat. Ironinya kita tidak mahu hidup dalam persekitaran yang terus terkurung dan takut untuk meneruskan kelangsungan hidup seperti biasa. Untuk itu pastikan program vaksinasi termasuk dos penggalak dapat dilaksanakan dengan jayanya demi melindungi keselamatan nyawa rakyat.

Selain itu, usaha untuk memulihkan ekonomi rakyat dan negara perlu terus dirancakkan. Hakikatnya, isu pendapatan dan kemampuan berbelanja rakyat terus mencengkam kehidupan harian anggota masyarakat kita, justeru perlu ada lebih banyak lagi inisiatif untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dan rakyat. Jujurnya kita mahu kadar pengangguran terus turun, lebih ramai dapat peluang pekerjaan atau mampu jadi usahawan untuk menyara kehidupan diri dan keluarga di samping kos sara hidup dikawal dan diturunkan.

Dalam konteks ini harga barang terutamanya barangan keperluan asas perlu terus dikawal daripada golongan kartel, pemborong, orang tengah dan peniaga yang cuba mengambil kesempatan dan menzalimi rakyat. Di samping itu kerajaan juga perlu memberi perhatian serius kepada masalah graduan yang terpaksa menceburi pekerjaan tidak sepadan dengan pendidikan atau kelayakan menyebabkan mereka hanya memperoleh pendapatan yang sederhana sekali gus menjejaskan kelangsungan hidup mereka. Isu gaji minimum RM1,200 yang disifatkan terlalu rendah berbanding kos sara hidup juga wajar ditangani dengan segera demi menampung keperluan pendapatan dan perbelanjaan sebenar rakyat.

Pada dasarnya kita sedar harapan rakyat terhadap kerajaan cukup tinggi dan tanggungjawab kerajaan semakin bertambah dek pelbagai masalah dan musibah yang bersilih ganti. Hakikatnya kerajaan memerlukan dana yang mencukupi untuk memenuhi semua keperluan rakyat dan kita sedar sejak 2013 hasil kerajaan terus merosot. Justeru perlu ada inisiatif tambahan untuk membina semula penampan fiskal dengan mengumpul lebih banyak hasil di samping berbelanja secara berhemah mengikut keutamaan dan keperluan rakyat serta negara.

Ironinya, untuk terus memulihkan rakyat dan negara kita memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil agar dapat berfungsi dengan efisien dan berkesan. Justeru kita berharap Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan pada tahun depan dapat meleraikan segala kekusutan dan ketidakstabilan politik dengan pembentukan sebuah kerajaan pilihan dan harapan rakyat.

Akhirnya, marilah kita berazam dan bertekad agar pada 2022 kita dapat menamatkan wabak dan memulihkan ekonomi demi kelangsungan hidup. Sama-samalah kita berdoa agar 2022 akan memberikan sinar harapan baharu kepada rakyat dan negara sekali gus dilindungi dari krisis kesihatan, ekonomi, politik dan juga bencana alam.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 7:00 AM