PENGUSAHA pusat basuh kereta di pekan Masjid Tanah akur tidak beroperasi hari ini kerana kadar vaksinasi lengkap penduduk dewasa masih belum mencapai 50 peratus. FOTO Hassan Omar
PENGUSAHA pusat basuh kereta di pekan Masjid Tanah akur tidak beroperasi hari ini kerana kadar vaksinasi lengkap penduduk dewasa masih belum mencapai 50 peratus. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar

Melaka: Peniaga 11 aktiviti ekonomi di negeri ini akur tidak memulakan operasi hari ini sejajar arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka berikutan kadar vaksinasi lengkap penduduk dewasa di negeri ini belum mencapai 50 peratus.

Mereka yang ditemui di beberapa lokasi bagaimanapun mengaku kecewa dengan situasi berkenaan berikutan sudah lebih dua bulan tidak dapat berniaga.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan pada 1 Jun lalu, mereka tidak berpeluang beroperasi, sekali gus terpaksa menanggung kos sewa kedai tanpa sebarang pendapatan.

Pengusaha pusat mencuci kenderaan, Hamdan Abdul Hamid, 54, berkata, dia terpaksa meminta empat pekerjanya bercuti tanpa gaji berikutan keadaan dialami.

"Apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan 11 aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) semalam, saya gembira kerana menjangkakan premis akan mula dibuka hari ini.

"Bagaimanapun selepas membaca laporan penjelasan MKN Melaka, baharulah saya faham keadaan di negeri ini masih belum sesuai untuk memulakan 11 aktiviti ekonomi itu," katanya di Tangga Batu, Tanjung Kling di sini.

Sementara itu peniaga aksesori kenderaan yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Chun berkata, dia terpaksa menjelaskan sewa premis sebanyak RM1,000 sebulan.

"Sewa kedai tetap perlu dibayar sedangkan perniagaan tidak jalan, saya semakin letih keadaan ini berlarutan," katanya ketika ditemui di pekan Masjid Tanah di sini.

Peniaga pakaian, Salmah Abdul Karim pula berkata, pemberian vaksin di negeri ini agak perlahan berbanding negeri lain menyebabkan 11 aktiviti ekonomi itu masih belum boleh dibenarkan beroperasi.

"Saya harap kadar 50 peratus itu mampu dicapai hujung bulan ini kerana ramai peniaga hampir muflis," katanya.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka, Mohd Nasrul Menhat sebelum ini berkata, walaupun 11 aktiviti itu sudah dibenarkan beroperasi namun ia tidak sesuai dilakukan di Melaka.

Ini kerana kadar vaksinasi lengkap penduduk dewasa di negeri ini hanya sekitar 36 peratus, kurang 14 peratus daripada tahap 50 peratus yang diperlukan untuk membolehkan aktiviti berkenaan dibuka semula.

Sebelum itu Muhyiddin dilaporkan mengumumkan 11 aktiviti kegiatan ekonomi itu ialah kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barang rumah dan peralatan dapur, kedai perabot dan kedai peralatan sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 4:32 PM