Tunku Mahkota Johor berkenan menerima menghadap Hasni, Vidyananthan, Dr Aman, Prof Datuk Adeeba dan Dr Dhesi. FOTO Ihsan Facebook Tunku Mahkota Johor
Tunku Mahkota Johor berkenan menerima menghadap Hasni, Vidyananthan, Dr Aman, Prof Datuk Adeeba dan Dr Dhesi. FOTO Ihsan Facebook Tunku Mahkota Johor
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim menitahkan supaya pengurusan Covid-19 negeri ini ditambah baik dengan penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta.

Tunku Ismail dalam hantaran di akaun Facebook baginda bertitah, langkah penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta dibuat bagi meringankan bebanan terhadap sistem kesihatan awam negeri dan akan dimulakan secara berperingkat.

"Pesakit bukan Covid-19 dari Hospital Sultan Ismail (HSI) akan dipindahkan ke Hospital Columbia Asia, manakala pesakit dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) akan dipindahkan ke Hospital Kumpulan Perubatan Johor (KPJ).

"Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad juga sudah mengumumkan penambahan katil di wad Covid-19 HSI dan hospital negeri ini selain kemudahan khemah di hadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma HSI akan ditambah baik," titah baginda dalam muat naik itu.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor berkenan menerima menghadap Hasni, EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan, Pengarah Kesihatan Johor Datuk Dr Aman Rabu selain pakar kesihatan Prof Datuk Adeeba Kamarulzaman dan Dr Dhesi Baha Raja.

Ia susulan tular aduan keluarga pesakit Covid-19 yang dirawat di HSI dalam keadaan amat menyedihkan dengan katil yang tidak mencukupi dan diletakkan di dalam khemah sehingga air hujan memasuki bahagian dalam khemah.

Semalam, Tunku Ismail menitahkan, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu menghadap baginda hari ini, bagi memaklumkan laporan lengkap selain tindakan yang akan diambil bagi mengatasi isu berkenaan.

Sementara itu, Tunku Ismail bertitah, satu inisiatif baharu, Inisiatif Pemimpin Advokasi Covid-19 (IPA-C) akan dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan Johor, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan pemimpin komuniti tempatan.

Titah baginda, objektif inisiatif ini adalah untuk mencegah penularan wabak Covid-19.

"Ia mengutamakan konsep tanggungjawab Collective Responsibility dalam menggerakkan dan memperkasakan komuniti, memantapkan konsep komunikasi risiko berkesan untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat dan memperkukuhkan usaha pemantauan terhadap pematuhan SOP.

"Proses vaksinasi juga harus dipercepatkan dan sentiasa dipantau oleh agensi dan pihak berkuasa supaya ia dapat dijalankan secara baik, cepat, selamat dan tidak membebankan rakyat yang datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Selain daripada mempercepatkan proses vaksinasi, kita juga perlu beri tumpuan kepada pesakit Covid-19 supaya mereka mendapat jagaan rapi yang sebaiknya," titah baginda.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 7:35 PM