Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Keterujaan dua individu untuk menerima hadiah wang tunai ribuan ringgit dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (USD) daripada kekasih yang kononnya menetap di luar negara, memerangkap diri sendiri.

Mereka akhirnya kerugian RM27,490 akibat terpedaya dengan sindiket Love Scam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa iaitu seorang lelaki berusia 54 tahun dan wanita berusia 48 tahun masing-masing terbabit dalam dua kes berbeza selepas berkenalan dengan individu kononnya dari luar negara melalui media sosial Facebook, baru-baru ini.

"Selepas lama berkenalan, individu itu menghantar hadiah dari luar negara sebagai tanda percintaan kepada mangsa.

"Kedua-dua mangsa seterusnya dihubungi suspek yang menyamar sebagai syarikat penghantaran mendakwa bahawa hadiah itu sudah sampai dan mengandungi ribuan wang tunai dalam mata wang USD.

"Mangsa kemudian dikehendaki membuat bayaran ke dalam nombor akaun yang diberikan sekiranya ingin menerima barangan itu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, kedua-dua mangsa yang teruja, masing-masing membuat pemindahan wang RM13,790 dan RM13,700 ke dalam nombor akaun yang diberikan suspek tanpa membuat semakan terlebih dahulu.

"Kedua-dua mangsa mula curiga apabila suspek masih meminta wang tambahan sebelum mereka membuat semakan dengan polis semalam dan mendapati mereka ditipu.

"Oleh itu laporan polis turut dibuat bagi membolehkan tindakan lanjut diambil," katanya.

Noorzainy berkata, polis sedang melakukan siasatan ke atas akaun suspek dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket yang menggunakan laman sosial seperti Facebook dan Instagram sebagai platform untuk menjalankan kegiatan ini.

"Bagi mengetahui samaada indvidu dikenali mencurigakan boleh membut semakan di lanjut di pautan, http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau aplikasi Check Scammers CCID di Google Playstore sebelum membuat transaksi online," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 10:42 AM