Datuk Seri Ahmad Maslan
Datuk Seri Ahmad Maslan
Oleh Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) Jasri Kasim mengesahkan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan hadir di jabatan itu hari ini.

Beliau berkata, Ahmad hadir bagi berbincang dengan pihaknya, dipercayai susulan kenyataan RoS sebelum ini bahawa keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebelum ini menangguhkan Pemilihan MKT, Bahagian dan Cawangan Umno selama 18 bulan adalah tidak sah.

"Ya. Setiausaha Agong Umno hadir berbincang dan menyerahkan beberapa maklumat yang berkaitan dan JPPM akan menelitinya," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan itu.

Terdahulu, Ahmad berkongsi mengenai pertemuan berkenaan di media sosial dengan keterangan gambar yang menyatakan perbincangan kira-kira sejam itu berjalan dengan baik dan mesra.

Ahli Parlimen Pontian itu juga menyatakan beliau berharap semoga ada keputusan yang memuaskan selain berpesan supaya ahli dan pemimpin Umno untuk sabar menunggu.

Jumaat lalu, Jasri dilaporkan berkata, ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.

Beliau dilaporkan berkata, Umno perlu membuat permohonan penangguhan mesyuarat agung atau pemilihan dengan mengemukakan cadangan tarikh kepada RoS dalam tempoh terdekat.

Umno dilaporkan menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan MKT selama 18 bulan bermula 30 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 7:13 PM