Umno. FOTO fail
Umno. FOTO fail
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 7 Julai 2021 berhubung menangguhkan Pemilihan MKT, Bahagian dan Cawangan Umno selama 18 bulan adalah tidak sah.

Ketua Pengarah, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPN), Jasri Kasim berkata, ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 sudah tamat pada 30 Jun lalu.

"Umno perlu mengemukakan permohonan penangguhan mesyuarat agong atau pemilihan dengan mengemukakan cadangan tarikh kepada JPPN dalam tempoh terdekat," katanya.

Ditanya, adakah ini bermakna MKT Umno boleh dianggap terbubar, Jasri berkata, ia tertakluk kepada kelulusan permohonan penangguhan oleh Umno.

Beliau juga berkata, pihaknya sudah maklumkan perkara itu kepada Umno tengah hari tadi dan jabatan itu belum lagi dihubungi kembali oleh Umno.

Katanya, jabatan itu bertanggungjawab untuk memastikan semua aktiviti dan pentadbiran pertubuhan berdaftar dilaksanakan sejajar dengan Perlembagaan Pertubuhan masing-masing yang tidak bercanggah dengan Akta Pertubuhan 1966 atau undang-undang negara.

Media sebelum ini melaporkan, Umno menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan MKT selama 18 bulan bermula Jun lalu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilaporkan berkata, pihaknya sudah menemui dan menulis surat kepada Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) serta Ketua Pengarah JPPN berhubung perkara itu manakala surat-surat jawapan sudah diperoleh daripada Ketua Pengarah KKM bertarikh 10 Mei lalu sementara Ketua Pengarah ROS dan MKN masing-masing bertarikh 2 Jun dan 11 Jun lalu.

Ahmad Maslan turut dilaporkan berkata, KKM dan MKN mencadangkan mesyuarat dan pemilihan Umno dibuat secara dalam talian atau maya, namun jika tidak boleh dibuat secara dalam talian, maka pemilihan perlu ditangguhkan hingga ke satu tarikh dan keadaan bila pandemik Covid-19 adalah terkawal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 4:54 PM